TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar optimis pencapaian kerajaan akan meningkat walaupun diberi Gred D oleh BERSIH

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan keyakinan bahawa pentadbiran kerajaan yang diterajuinya akan memperoleh pencapaian yang lebih baik pada masa akan datang.

Mengulas tentang penilaian gred D yang diberikan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) terhadap prestasi kerajaannya, Anwar menjelaskan bahawa terlalu awal untuk membuat penilaian keseluruhan terhadap pencapaian kerajaan, memandangkan ia baru sahaja memulakan tugasnya.

"Kalau BERSIH beri D, tak mengapa, sekurang-kurangnya bukan F. Dulu, masa ambil UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), saya dapat D, tetapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) boleh jadi A. Insya-Allah, kerajaan ini baru sangat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) di Dewan Rakyat hari ini.

BERSIH sebelum ini memberikan markah 45.8 peratus (gred D) kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar, yang sudah mentadbir negara selama hampir dua tahun. Ahad ini, genap dua tahun sejak Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Anwar turut menyentuh mengenai isu peruntukan kepada pembangkang dan mengulangi seruannya supaya pihak pembangkang segera mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadilah Yusof, untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Saya tidak faham bagaimana isu peruntukan ini boleh dimasukkan dalam laporan BERSIH. Saya telah mencadangkan agar pihak pembangkang berunding. Pandangan kami kepada Timbalan Perdana Menteri II adalah jelas, rundingan perlu diadakan," ujar Anwar.

Menurutnya, keengganan pembangkang untuk mengadakan rundingan telah menyebabkan perkara ini tertangguh. Namun, beliau memberi cadangan kepada Datuk Awang Hashim agar menjadi salah seorang perunding dalam hal ini jika beliau bersetuju, supaya rundingan dapat diselesaikan dengan segera. - Media Telus

+ - reset