TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Langkah berjimat, syarikat swasta tanggung 70 hingga 80 peratus kos perjalanan PM ke lima negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perbelanjaan membabitkan perjalanan dan lawatan rasmi ke lima negara oleh pihaknya ditanggung oleh syarikat swasta  sekitar 70 hingga 80 peratus yang turut mengikuti urusan itu.

Anwar berkata, ia adalah pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan bagi membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan secekap mungkin.

Beliau berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.

"(Lawatan) Baru-baru ini kita buat cara lain sebab saya lihat kos perjalanan selalunya agak tinggi. Jadi, kali ini apa yang kita lakukan adalah dengan kerjasama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz).

"Kita undang syarikat-syarikat terbabit umpamanya PETRONAS, Sapura Energy, Yinson, PROTON dan (syarikat semikonduktor) yang datang mengikuti dalam rombongan (negara). Mereka bayar tambang dan kos.

"Jadi, maknanya tak salah saya sekitar 70, 80 peratus kos penerbangan itu ditanggung oleh syarikat yang ada kepentingan perniagaan pelaburan. Kerajaan bantu syarikat ini sama ada import dan eksport.

"Jumlah sebenarnya belum ada (perincian) sebab saya baru tiba semalam, tetapi kos itu memang tinggi kerana dari KL (Kuala Lumpur) ke Kaherah, Riyadh, Lima, Rio de Janeiro dan Doha.

"Memang setengah dunia, tiga benua. Tetapi (sekitar) 75 peratus kos ditampung oleh syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Anwar melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November lalu atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.

Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga kelmarin.

Lawatan selama 11 hari ke empat negara itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.

 

Dalam rangka lawatan itu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia antaranya ke Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.

Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri turut membawa pendirian Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin serta mengecam kekejaman Israel di persada dunia selain menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.

Dalam lawatan empat negara itu, Anwar turut bertemu pemimpin dunia serta menyatakan komitmen Malaysia dalam memacu pertumbuhan mampan termasuk semasa menjadi Pengerusi Asean 2025.

+ - reset