TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Forum MAICSA tarik ratusan peserta, bincang kelestarian sebagai teras tadbir urus

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

JOHOR BAHRU 20 Nov - Institut Setiausaha Berkanun dan Pentadbir Malaysia (MAICSA) dengan kerjasama Universiti Reading Malaysia telah menganjurkan forum bertajuk ‘Kelestarian Hari Ini untuk Hari Esok’.

Forum ini memfokuskan kepentingan integrasi amalan kelestarian sebagai asas kepada daya tahan dan kesinambungan korporat jangka panjang. 

Acara yang dihadiri lebih 100 peserta termasuk ahli MAICSA dan pelajar universiti itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik MAICSA di kawasan selatan negara.

Forum tersebut turut menyediakan platform untuk memperkukuh hubungan antara profesional tadbir urus dan melatih generasi pemimpin masa hadapan dengan pendekatan yang lebih lestari. 

Presiden MAICSA, Datuk Akbar bin Moidunny, dalam ucapannya menekankan perlunya kelestarian menjadi teras strategi korporat.

“Kelestarian bukan sekadar persediaan untuk masa depan, tetapi ia adalah keperluan mendesak untuk memastikan kejayaan jangka panjang perniagaan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAICSA, Encik Justin J Anthony berkata, kelestarian kini melangkaui kerangka tradisional ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus).

“Ia memerlukan komitmen terhadap inovasi, penggunaan sumber yang bertanggungjawab, serta akauntabiliti korporat. Semua ini penting untuk menyokong pertumbuhan organisasi yang berterusan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Pengarah Negeri Johor Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Azrin Mohd Ripin, menjelaskan langkah SSM dalam menyokong agenda reformasi tadbir urus.

“SSM komited dalam program kesedaran dan latihan bagi memastikan semua pihak bersedia melaksanakan perubahan. Hasilnya, semakin banyak syarikat mengukuhkan usaha ke arah tadbir urus dan kelestarian terbaik,” katanya. 

Forum berkenaan turut menampilkan Yee Chee Mun selaku Ketua Pegawai Eksekutif Wezmart Group, yang membincangkan peranan pendigitalan dalam meningkatkan kecekapan dan ketelusan tadbir urus korporat.

Selain itu, Ketua Teknikal dan Penyelidikan MAICSA berkongsi pandangan tentang alat digital seperti Malaysian Business Reporting System (MBRS), Directors’ Circular Resolution (DCR), serta e-Board dan e-Office (e-BOSS). 

Perbincangan sepanjang forum ini memperkuatkan komitmen MAICSA untuk melengkapkan profesional dan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran bagi membina masa depan korporat yang lebih mampan dan inovatif. - Media Telus

+ - reset