TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPJ bina fungsi notifikasi maklum tarikh tamat lesen

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membangunkan fungsi notifikasi baharu untuk memaklumkan pemilik kenderaan mengenai tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata fungsi ini adalah sebahagian daripada agenda pendigitalan JPJ untuk meningkatkan perkhidmatan atas talian.

"Cadangan ini amat dialu-alukan, dan fungsi notifikasi ini akan dimaklumkan kepada orang ramai apabila siap dan sedia digunakan," katanya ketika menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat.

Tingkatkan Pendigitalan, Sediakan Pilihan Fizikal
Anthony turut menyedari masih ada rakyat yang lebih suka menggunakan lesen dan cukai jalan dalam bentuk fizikal. Oleh itu, pada awal tahun depan, JPJ akan memperkenalkan inisiatif membolehkan rakyat mencetak lesen atau cukai jalan mereka dengan bayaran tertentu.

"Sebahagian orang ramai masih ingin melihat atau memiliki lesen fizikal. Kita akan memperkenalkan cara untuk mencetak lesen dan cukai jalan mereka dengan pilihan kos yang munasabah," jelasnya.

Penguatkuasaan Digital Sepenuhnya
Bagi operasi sekatan jalan raya, JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menggunakan sistem digital sepenuhnya untuk memeriksa kesahihan cukai jalan tanpa memerlukan pelekat fizikal.

"Pegawai penguat kuasa hanya perlu memasukkan nombor plat kenderaan ke dalam sistem yang tersedia di aplikasi atau gajet mereka. Maklumat cukai jalan akan dipaparkan serta-merta," kata Anthony.

Pendekatan ini selaras dengan transformasi digital yang dilaksanakan JPJ untuk mempermudah urusan dan memastikan keberkesanan penguatkuasaan. - Media Telus

+ - reset