TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

170,751 individu berjaya bebas daripada bankrap tahun ini

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Seramai 170,751 individu berjaya dilepaskan daripada masalah bankrap menerusi inisiatif Dasar Peluang Kedua pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) melaksanakan inisiatif itu bagi membantu memperkasakan ekonomi golongan muda.

"Di bawah inisiatif ini, secara keseluruhannya sejak Mac 2023 sehingga September 2024, MdI berjaya melepaskan 170,751 orang bankrap. 

"Jumlah itu turut merangkumi golongan muda berumur 40 tahun ke bawah dan hutang tidak melebihi RM200,000.

"Golongan orang muda yang dilepaskan daripada kebankrapan berpeluang memulakan kehidupan baharu. Pelepasan daripada kebankrapan membuka peluang untuk mereka menikmati perluasan peluang kerjaya termasuk dalam bidang profesional dan perniagaan bagi memperkasa ekonomi diri dan keluarga," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Azalina menjawab pertanyaan Datuk Siti Aminah Aching (BN- Beaufort) mengenai inisiatif kerajaan membantu golongan muda berumur 40 tahun ke bawah dan jumlah hutang tidak melebihi RM200,000 daripada aspek peningkatan ekonomi dan berapa penerima manfaat daripada Dasar Peluang Kedua.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, agensi kerajaan lain seperti SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Mara dan Agro Bank turut berperanan membantu golongan muda menceburi bidang keusahawanan.

"Golongan muda juga hendaklah mengambil peluang menyertai pelbagai program literasi kewangan yang dianjurkan agensi kerajaan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

"Mereka disarankan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan yang kukuh yang dapat membantu mereka untuk mengelak berlakunya keterhutangan yang serius," katanya. - Media Telus

+ - reset