TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerjasama kukuh kerajaan, negeri bangunkan potensi ekonomi Perlis

By
|
Kongsi
image

KANGR 18 Nov. - Kerjasama kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri adalah kunci utama dalam merealisasikan potensi ekonomi Perlis, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.  

Walaupun Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia, Rafizi menegaskan bahawa kedudukannya yang strategik menjadikan negeri ini sesuai untuk pembangunan sektor tertentu berdasarkan kelebihan geografinya.  

Menurut beliau, Perlis mempunyai potensi besar dalam sektor seperti pertanian, logistik, pembuatan, dan tenaga boleh diperbaharui.  

“Bagi saya, walaupun kecil, Perlis unik. Ia bersempadan dengan selatan Thailand, mempunyai tanah yang mencukupi, dan menerima liputan cahaya matahari tertinggi di negara ini.  

“Selain itu, Perlis bakal mempunyai pelabuhan di Sanglang, sementara Pelabuhan Pulau Pinang juga tidak jauh. Ini memberi kelebihan strategik untuk membangunkan ekonomi yang pelbagai,” katanya selepas sesi libat urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bersama penjawat awam Perlis hari ini.  

Rafizi turut menyatakan bahawa Perlis boleh menjadi lanjutan kepada industri di Pulau Pinang, khususnya dengan keupayaan negeri ini untuk menempatkan ladang solar berskala besar.  

“Perlis, walaupun kecil, mempunyai kelebihan strategik. Dengan pendekatan yang betul, ekonominya boleh dipelbagaikan lebih pantas berbanding beberapa negeri lain.  

“Kami sedang mengusahakan keseimbangan antara sektor pertanian, logistik, pembuatan, dan tenaga boleh diperbaharui sebagai satu pakej menyeluruh,” jelasnya.  

Beliau berharap kerajaan negeri dapat bekerjasama rapat dalam memajukan potensi ekonomi negeri tersebut.  

“Apa yang perlu sekarang ialah fokus membangunkan pakej ekonomi yang pelbagai dan berskala besar. Ia mungkin memakan masa 10 hingga 15 tahun, tetapi saya berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memacu kelebihan strategik Perlis ke arah pembangunan ekonomi yang lebih beragam,” katanya. - Media Telus

+ - reset