TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Satu hotel pun tiada di Rantau Panjang, sebab tu pelancong masuk ke Golok' - Siti Zailah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Antara punca Rantau Panjang, Kelantan gagal menjadi tarikan pelancong adalah disebabkan kurangnya infrastruktur selain ketiadaan hotel untuk menginap di lokasi berkenaan. 

Perkara itu diakui sendiri Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) sambil menyatakan pelancong lebih gemar untuk berkunjung ke Golok di Thailand serta destinasi lain, berbanding Rantau Panjang.

Beliau bimbang sekiranya trend itu tidak ditangani segera, maka ia boleh menjejaskan ekonomi negara.

Justeru Siti Zailah menyarankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membina hotel di Rantau Panjang yang menjadi keperluan utama pelancong ketika ini.

"Sekarang keperluan pelancong seperti hotel. Tak ada satu pun hotel di Rantau Panjang sedangkan ini adalah satu infrastruktur yang penting.

"Mereka (pelancong) datang ke Rantau Panjang terpaksa menyewa hotel di Thailand atau hotel di Kota Bharu, sedangkan jarak itu dekat sangat antara Golok dan Rantau Panjang.

"Yang datang ke Rantau Panjang cuma singgah sekejap untuk ke tempat lain termasuk Thailand sebab tidak ada kemudahan. Beribu-ribu orang Malaysia setiap hari (ke Thailand) sebab Rantau Panjang adalah pintu masuk.

"Ini sebenarnya merugikan untuk ekonomi negara kita," katanya sewaktu sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab isu dibangkitkan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing turut mengakui ramai rakyat Malaysia hanya singgah di bandar sempadan negara untuk ke Thailand.

Justeru, beliau berkata tindakan penting mesti dibuat adalah kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri untuk mempromosikan Rantau Panjang.

"Macam contoh, (Ahli Parlimen) Rantau Panjang beritahu tidak ada hotel. Jadi kita mahu bincang dengan kerajaan negeri (Kelantan) dan harap dapat selaraskan bersama rancangan.

"Ia penting untuk bagaimana kita boleh bina hotel atau infrastruktur lain termasuk naik taraf kemudahan sedia ada.

"Sebagai Menteri, saya tak kira negeri itu kerajaan atau pembangkang... kalau boleh kita bantu, kita akan bantu. Saya mohon kita bekerjasama untuk majukan ekonomi kita, kembangkan agar rakyat senang," katanya.

+ - reset