Berita Jenayah
Ahli perniagaan masuk jerat scammer, rugi RM5.2 juta beli saham tak wujud
KUALA TERENGGANU 15 Nov - Seorang ahli perniagaan terpaksa menanggung kerugian lebih RM5.2 juta selepas terjebak menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di media sosial.
Kejadian bermula apabila lelaki berusia 67 tahun melihat satu iklan di laman Facebook pada 1 September lalu berkenaan tawaran pelaburan yang dikatakan menjalankan kegiatan pelaburan jual beli saham yang dibuat di China.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata mangsa kemudian dimaklumkan sekiranya dia melaburkan modal, pelaburan itu akan diuruskan oleh pihak berkenaan sambil dijanjikan akan memperoleh keuntungan dalam masa yang singkat.
Beliau berkata, mangsa yang berminat diarahkan memuat turun satu aplikasi iaitu MMct-Pro yang diserahkan melalui email dan selepas mendaftar, mangsa diarahkan membuat bayaran pertama berjumlah RM30,000 bagi memasukkan modal pelaburan ke dalam akaun bank tempatan yang diberikan oleh 'scammer'.
"Melalui aplikasi itu, mangsa boleh melihat pergerakan jumlah wang keuntungan yang semakin meningkat sejak daripada transaksi yang dilakukan oleh mangsa seterusnya mendorongnya melakukan transaksi kedua dan ketiga masing-masing RM50,000 dan RM20,000 bagi mendapatkan keuntungan yang lebih besar," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, percubaan mangsa membuat pengeluaran wang melalui aplikasi itu pada peringkat awal berjaya apabila dia mendapat RM89,800 sehingga menyebabkan dia yakin dengan pelaburan berkenaan.
Katanya, mangsa juga mendapati wang yang diterima adalah daripada akaun sebuah syarikat yang tidak dikenali.
"Ekoran itu, mangsa membuat transaksi pindahan wang miliknya sebanyak RM240,000 secara berperingkat yang dimasukkan ke dalam beberapa buah akaun bank tempatan yang diberikan oleh 'scammer' bagi pembelian saham.
"Mangsa dimaklumkan akan menerima keuntungan daripada pembelian saham itu namun dia perlu membuat bayaran sebanyak RM1 juta sebagai pembahagian keuntungan sekiranya mahu membuat pengeluaran ke atas keuntungan itu.
"Selepas membuat bayaran itu, mangsa dimaklumkan pengeluaran tidak dapat dibuat sekiranya mangsa tidak membuat pembayaran cukai yang dikenakan menyebabkan mangsa membuat pembayaran di kaunter bank tempatan sebanyak RM 1,698,832.10.
"Namun, pihak syarikat sekali lagi meminta mangsa membuat bayaran deposit sebanyak RM520,000 untuk siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan mangsa hanya menuruti arahan diberikan dengan membuat bayaran seperti yang diminta di kaunter bank tempatan," katanya.
Menurut Mohd Khairi, mangsa melakukan 13 transaksi kemasukan wang ke tujuh akaun bank tempatan yang berbeza mengalami kerugian RM5,221,832.10 sepanjang urusan pelaburan itu.
Katanya, mangsa mula mengesyaki ditipu apabila tidak boleh mengeluarkan duit keuntungan selain sentiasa diarahkan memasukkan duit sebelum dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu semalam untuk tindakan lanjut.
"Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Berita berkaitan
January 28, 2025, 9:25 am
Cubaan seludup 900 liter petrol ke Thailand gagal, dua lelaki ditahan
January 27, 2025, 9:40 pm
11 lelaki bertopeng pecah rumah, dua mangsa cedera parah ditetak dengan parang di Puchong
January 27, 2025, 3:08 pm
4 warga asing jual dadah hidup mewah, miliki Maserati Granturismo
January 24, 2025, 7:31 pm
Seorang maut, empat cedera dalam kejadian tembakan di Pantai Morib
January 24, 2025, 3:31 pm
16 rakyat Malaysia ditahan terlibat sindiket penipuan rentas negara, kerugian mangsa cecah RM4.9 juta
January 23, 2025, 12:53 pm
Pemimpin PKR didenda RM5,000 hina Agong
January 23, 2025, 12:46 pm
Wanita dakwa ada pihak 'edit' gambarnya jadi bogel, dijual di laman sosial RM18 sekeping
January 22, 2025, 4:16 pm
Polis siasat individu guna gelaran Datuk Seri palsu
January 22, 2025, 10:26 am
PGA Batalion 9 tumpaskan penyeludupan kerbau di Pasir Mas
January 20, 2025, 9:52 am