TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kenderaan pengangkut kereta perisai milik ATM terbabas ekoran jalan licin, basah

By
|
Kongsi
image

GOMBAK 14 Nov. - Siasatan awal polis mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kilometer (KM) 35.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada 7 November lalu berpunca daripada keadaan jalan yang licin dan basah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, menyatakan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa pemandu kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari Kem Batu 5, Mentakab, Pahang, menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan. Kenderaan terbabit terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan sebelum terjatuh ke arah laluan bertentangan di KM 35.3, menghala ke Bentong, akibat jalan licin dan basah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noor Ariffin turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah membantu dengan menyalurkan maklumat berkenaan insiden ini. Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat kenyataan yang melampaui siasatan polis mengenai mana-mana kes yang masih dalam proses penyiasatan.

Pada 7 November, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, memaklumkan bahawa kenderaan tersebut membawa muatan dua kereta perisai ADNAN dan telah terbalik akibat kemalangan tersebut. Ketika kejadian pada jam 4.48 petang, kenderaan itu sedang dalam perjalanan ke Gemas bagi tujuan latihan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) sebelum ini turut menyatakan bahawa mereka akan menubuhkan lembaga siasatan untuk menyiasat punca sebenar kemalangan berkenaan. - Media Telus

+ - reset