TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Timbalan mudir madrasah berkait GISBH dituduh mengajar tanpa tauliah

By
|
Kongsi
image

REMBAU 14 Nov. - Seorang timbalan mudir dari madrasah yang berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis, atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Ghazalyi Othman, 54 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Bicara, Nurul Fadhlina Che Daud.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Ghazalyi didakwa mengajar pelajaran Tauhid dan Tafsir kepada para pelajar di madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau, tanpa kelulusan dari Jawatankuasa Tauliah di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Kesalahan ini dikatakan berlaku dari penghujung 2022 hingga September 2024.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2009 kerana mengajar tanpa tauliah. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin dari Negeri Sembilan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Januari depan.

Pada Selasa lalu, media turut melaporkan bahawa Muhammad Ghazalyi menghadapi tuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban atas kesalahan lain, iaitu mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang bertentangan dengan hukum syarak, di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. - Media Telus

+ - reset