TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kalau #terjahmrsm buka aib, saya yang patut malu - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mempertahankan tindakannya melakukan tinjauan mengejut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), seperti yang kini tular di media sosial.

Menurut beliau, tinjauan yang diberi nama #TerjahMRSM ini bukan bertujuan untuk mengaibkan, tetapi untuk memperbaiki masalah yang dihadapi institusi tersebut demi kepentingan para pelajar.

“Ada yang mendakwa tindakan ini membuka aib MRSM. Jika benar begitu, saya sendiri sebagai Pengerusi sepatutnya berasa malu kerana MRSM adalah di bawah tanggungjawab saya.

"Namun, saya lebih rela berasa malu sekarang daripada kelak dipersoal di hadapan Allah tentang segala kekurangan ini,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Tinjauan tersebut, yang dilakukan di MRSM Langkawi, mendedahkan beberapa isu kritikal, antaranya pintu tandas yang tumbang dengan hanya satu sentuhan, tandas lain yang tiada pintu, serta lampu dan sinki yang tidak berfungsi.

Kehadiran Asyraf di MRSM Langkawi dilakukan tanpa pengetahuan pengurusan sekolah berkenaan susulan banyaknya aduan yang diterima daripada ibu bapa.

Aduan ibu bapa yang dibangkitkan termasuk masalah tandas yang tidak diperbaiki, kekurangan bekalan air, tray makanan yang tidak dicuci dengan sempurna, dan pelbagai isu lain yang menjejaskan kebajikan pelajar.

Tindakan tinjauan ini adalah sebahagian daripada usaha MARA untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar di MRSM sentiasa terpelihara. - Media Telus

+ - reset