Berita Ekonomi
KUSKOP sedia bincang bersama MoF, KESUMA selaras gaji minimum untuk PMKS
KUALA LUMPUR 11 Nov - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengenai penyelarasan gaji minimum bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP juga akan memperincikan inisiatif-inisiatif lain untuk memastikan kesan kenaikan gaji minimum terhadap perusahaan berkenaan dapat dikurangkan.
"KUSKOP mengambil perhatian serius terhadap kesan kenaikan gaji terhadap syarikat milik usahawan PMKS dan menyedari bahawa peningkatan gaji minimum secara umumnya akan memberi kesan kepada aliran tunai dan kos operasi perniagaan mereka.
"Sehubungan itu, KUSKOP bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan MoF dan KESUMA untuk memperincikan inisiatif yang dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan gaji minimum terhadap usahawan PMKS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Ewon berkata peningkatan gaji minimum itu secara tidak langsung menggalakkan PMKS memberi perhatian terhadap aspek pendigitalan dan automasi dalam menjalankan operasi syarikat untuk faedah jangka panjang.
"Terdapat kemungkinan pengurangan pengambilan pekerja bagi memastikan kos yang lebih efektif, di mana syarikat lebih cenderung untuk mengambil pekerja kontrak berbanding lantikan tetap," katanya.
Sementara itu, beliau berkata antara Januari hingga September lalu, seramai 10,515 usahawan memperoleh pembiayaan secara berkumpulan di bawah Program Skim Teman Tekun dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM81.3 juta.
"Program ini berkonsepkan pembiayaan secara berkumpulan yang lebih mudah, cepat, dan efisien untuk penjaja bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka," katanya.
Katanya, sehingga 30 September lalu, seramai 2,451 penjaja dan peniaga kecil telah menerima Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) oleh Bank Rakyat di bawah skim tersebut membabitkan jumlah RM49.76 juta.
"Skim ini menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan tiada kadar faedah yang dikenakan," katanya.
Berita berkaitan
November 19, 2024, 1:38 pm
Alliance Laundry Systems mantapkan dominasi sebagai peneraju industri dobi komersial global
November 15, 2024, 3:43 pm
Perang dagang AS-China buka peluang pelaburan ke ASEAN, Malaysia - Tengku Zafrul
November 15, 2024, 1:43 pm
Malaysia catat peningkatan KDNK 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini
November 14, 2024, 2:27 pm
11.1 juta pemegang unit ASB rekod pelaburan sebanyak 173.8 bilion unit
November 12, 2024, 10:10 am
Ringgit dibuka tinggi berbanding US dolar
October 28, 2024, 12:21 pm
Blackberry pilih Malaysia tubuh ibu pejabat keselamatan siber
October 25, 2024, 9:54 am
Pelabur mula beralih kepada negara pesat membangun, ringgit kembali mengukuh berbanding dolar AS
October 24, 2024, 10:14 am
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS di awal dagangan akibat ketidaktentuan menjelang Pilihan Raya AS
October 23, 2024, 3:20 pm