TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Letupan di Lubnan, 6 anggota Malbatt hanya cedera ringan

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 10 Nov. - Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa enam anggota Malaysian Battalion (Malbatt) yang terlibat dalam insiden letupan di Lubnan pada Khamis lalu hanya mengalami kecederaan ringan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata lima daripada mereka merupakan anggota daripada pasukan yang baru tiba, manakala seorang lagi telah berada di Lubnan lebih awal.

"Ministry Pertahanan akan terus memastikan keselamatan semua anggota yang ditugaskan di Lubnan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kerjasama awam dan tentera (CIMIC) Angkatan Tentera di Observatori Al-Biruni di sini pada Ahad (10 Nov).

Pada Khamis lalu (7 Nov), enam anggota Malbatt cedera akibat letupan yang berlaku berhampiran Stadium Saida, Lubnan, ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 petang waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia).

Letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam yang sedang dalam perjalanan ke Beirut, namun turut menyebabkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

Mohamed Khaled menjelaskan bahawa lokasi pasukan Malbatt di Kem Marakah adalah kawasan yang selamat.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kementerian akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah melibatkan peruntukan sebanyak RM234.5 juta.

Antara projek tersebut termasuklah pembangunan Kem Tentera di Felda Sahabat, Lahad Datu, dan pembinaan Kem Briged Ke-5 dan Rejimen Ke-19 Tentera Darat di Kota Belud.

Kementerian juga, katanya, akan menerima peruntukan sebanyak RM37.6 juta bagi pelaksanaan projek-projek di Sabah pada tahun depan.

Projek-projek tersebut merangkumi pembangunan Pos Serudong dan Pos Bantul, pembangunan kemudahan kesihatan tentera di Kem Lok Kawi, serta pembinaan Pusat Operasi Perisikan Lapangan Zon Sabah," katanya. - Media Telus

+ - reset