TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat khatib bangkit isu pemberian kewarganegaraan kepada Rakyat China dalam khutbah Jumaat

By
|
Kongsi
image

KULIM 9 Nov - Polis telah menerima laporan mengenai tindakan seorang khatib di sebuah masjid di Padang Serai yang didakwa membangkitkan isu pemberian kewarganegaraan kepada rakyat China dalam khutbah Jumaat yang disampaikan semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa perkara ini dianggap sebagai penyalahgunaan pentas khutbah dan mencemarkan institusi masjid, dan akan disiasat oleh Pasukan Khas 3R Bukit Aman.

“Saya telah menerima aduan awal mengenai khutbah di masjid di kawasan Parlimen Padang Serai yang menyentuh isu pemberian kewarganegaraan kepada rakyat China dengan jumlah lebih satu juta. Walaupun perkara ini sudah diperjelaskan dan disangkal oleh bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, namun fitnah ini masih berterusan, dan lebih malang apabila masjid digunakan sebagai platform,” kata beliau.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Ladang Dublin, Karangan.

Beliau meluahkan rasa kesal terhadap penggunaan pentas khutbah untuk isu-isu semasa yang tidak tepat. Menurutnya, fungsi khutbah sepatutnya menekankan pesan bertakwa, menyeru kepada kebaikan, dan menjauhi kezaliman.

Saifuddin menegaskan bahawa teks asal khutbah yang disediakan pihak berkuasa agama tidak menyentuh isu tersebut, namun khatib berkenaan dipercayai mengulas isu itu secara peribadi.

“Saya menggesa agar masjid dan para pimpinan masjid tidak membenarkan platform khutbah disalahgunakan untuk menyebarkan bahan-bahan yang terpesong,” katanya. - Media Telus

+ - reset