Berita Berita
545 penjawat awam ditahan SPRM sejak Januari hingga Oktober tahun ini
KENINGAU 9 Nov. - Seramai 545 atau 43.4 peratus daripada 1,257 individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Januari hingga Oktober tahun ini merupakan penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa sembilan daripada tangkapan tersebut melibatkan golongan pengurusan tertinggi, 181 dalam kalangan pengurusan profesional, dan 357 adalah kakitangan pelaksana atau sokongan.
"Baki 712 individu atau 56.6 peratus yang ditahan dalam tempoh sama melibatkan golongan swasta dan orang awam," katanya semasa majlis perasmian Pejabat SPRM Sabah cawangan Keningau di Rumah Persekutuan, di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y Subbiah.
Antara kesalahan yang dilakukan oleh penjawat awam adalah menerima dan memberi rasuah, tuntutan palsu, salah guna kuasa, dan penggubahan wang haram. Azam menyatakan bahawa tangkapan penjawat awam berkaitan rasuah masih tinggi, menghampiri 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Sekiranya kita ingin melihat penurunan rasuah dalam kalangan penjawat awam, angka ini seharusnya berada di bawah 40 peratus dan semakin menurun setiap tahun. Namun, isu rasuah dalam kalangan penjawat awam masih perlu ditangani dengan lebih efektif,” jelasnya.
Mengulas tentang pembukaan pejabat SPRM cawangan Keningau, Azam berkata ia bertujuan memperluas perkhidmatan SPRM dan memudahkan masyarakat setempat untuk membuat aduan atau mendapatkan penjelasan.
“Saya mengharapkan masyarakat, terutama di daerah ini dan kawasan luar bandar, lebih peka dengan isu rasuah dan berani berjumpa dengan pegawai SPRM untuk penjelasan lanjut. Ini lebih mudah daripada sekadar menghantar e-mel, WhatsApp, atau media sosial,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
November 13, 2024, 3:14 pm
Bukan Bumiputera paling ramai miliki sijil halal - Mohd Naim
November 13, 2024, 3:02 pm
Wanita maut kereta dihempap kontena jatuh dari treler di Bukit Mertajam
November 13, 2024, 3:01 pm
(VIDEO) Polis buru dua lelaki pecah tabung masjid di Ampang
November 13, 2024, 2:37 pm
Pengasuh di Selangor paling ramai terlibat kes dera kanak-kanak
November 13, 2024, 2:22 pm
Tindakan lanjut kes Tun Daim ditentukan TPR
November 13, 2024, 2:15 pm
Ibu, rakan dijel 3 tahun ikat anak guna pita selotip, kurung dalam sangkar kucing ketika keluar bekerja
November 13, 2024, 2:00 pm
Kalau #terjahmrsm buka aib, saya yang patut malu - Asyraf Wajdi
November 13, 2024, 1:57 pm
Warga emas ditemukan maut dalam anak sungai selepas 4 hari hilang di Sepang
November 13, 2024, 1:52 pm
Sultan Ibrahim dilantik sebagai Canselor ketujuh UiTM
November 13, 2024, 1:40 pm