TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis siasat warga emas didakwa dera kucing di Flat Pandan Jaya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular yang menunjukkan seorang lelaki warga emas didakwa mendera seekor kucing di Flat Pandan Jaya, Ampang, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku pada pukul 10 pagi, apabila seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun terdengar bunyi kucing di luar rumahnya.

Menurut beliau, wanita tersebut mendapati jirannya, seorang lelaki berusia lingkungan 60-an, sedang mendera kucing dengan memasukkannya ke dalam jaring besar. Lelaki tersebut dilihat mengheret kucing dari tingkat rumah pengadu hingga ke bawah flat tersebut.

“Pengadu dan suaminya kemudian turun dan mengikuti lelaki itu. Beberapa penduduk turut menasihatkan lelaki tersebut supaya melepaskan kucing yang berada dalam jaring,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lelaki warga emas itu dikatakan bertindak demikian kerana kucing tersebut sering membuang najis di hadapan rumahnya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mohd Azam turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang perbuatan penganiayaan terhadap haiwan. - Media Telus

+ - reset