TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

BN enggan bentuk kerajaan perpaduan, Amanah mahu tanding 20 kerusi DUN Johor

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 4 Nov - Amanah merancang untuk bertanding di 20 daripada 56 kerusi DUN Johor pada pilihan raya akan datang berikutan Barisan Nasional (BN) enggan membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu. 

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu diambil sebagai tanda tidak bersetuju dengan kepimpinan BN negeri itu yang langsung tiada kemahuan untuk membentuk kerajaan perpaduan walaupun selepas menang PRK Mahkota baru-baru ini.

“Kami tegaskan sekali lagi bahawa keputusan Amanah Johor ini adalah disebabkan tiada rundingan langsung berkenaan kerajaan perpaduan dari pihak BN hingga tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Kami telah menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 12 ke 20 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang berada di negeri ini sama ada kita bersama dengan BN atau bersama dengan gabungan asal Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan.

Dzulkefly berkata, Amanah Johor akan membawa keputusan itu kepada kepimpinan tertinggi parti dan PH.

Beliau berkata, dengan keputusan itu kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) di Johor pada pilihan raya akan datang.

“Kami telah pun mengenal pasti antara DUN sasaran kami yang akan menjadi pilihan dalam mencapai objektif kami selain mengekalkan satu kerusi yang sedia ada iaitu DUN Simpang Jeram,” katanya.

Pada PRN Johor 2022, Umno menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala PAS satu kerusi. Sementara Muda juga menang satu kerusi.

Kerajaan perpaduan diwujudkan di peringkat persekutuan dan di Pahang, Perak serta Selangor oleh gabungan PH dan BN. - Media Telus

+ - reset