TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cikgu Din dipindahkan ke Kelantan, lebih dekat dengan isteri - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Seorang guru yang berkhidmat di Sarawak dan menghadapi ujian berat dengan keadaan kesihatan isterinya, kini diberi penempatan sementara di sekolah berhampiran untuk menyokong pasangannya yang sedang menjalani rawatan kanser.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa penempatan sementara untuk guru berkenaan, Izzuddin Izhar atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Din,’ telah diuruskan hasil perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Kelantan.

“Dengan cara ini, Izzuddin dapat bersama isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, dalam waktu sukar ini.

 “KPM mengucapkan simpati kepada Cikgu Din dan akan memberikan segala bantuan yang diperlukan," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa langkah-langkah yang diambil bukanlah reaksi semata-mata selepas isu ini tular di media sosial, tetapi hasil daripada proses perbincangan yang telah berlangsung sebelumnya.

"Kami berterima kasih kepada masyarakat yang memberikan perhatian terhadap situasi Cikgu Din, dan kami komited untuk menangani kes-kes lain dengan penuh empati dan pertimbangan," tambahnya.

Kisah Cikgu Din mendapat perhatian setelah tular di media sosial bahawa isterinya disahkan menghidap kanser, dan permohonan pertukarannya ke Semenanjung untuk bersama isteri sebelum ini didakwa telah ditolak berulang kali sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya. - Media Telus

+ - reset