TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar terima baik permohonan maaf Najib

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 24 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf secara terbuka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Terima baik, terima baik," katanya ringkas ketika ditanya mengenai permohonan maaf itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Presint 16 di sini, hari ini.

Semalam, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Permohonan maaf Najib itu datang beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

"Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan itu.

Najib memetik artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.

Menurut kenyataan itu lagi, Najib mendakwa bahawa rumusan daripada artikel diterbitkan itu menyatakan PetroSaudi serta Jho Low bersubahat untuk memperdayakan beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menyertai lebih 300 jemaah menunai solat Jumaat di Surau Ar-Rahman Presint 16 di sini.

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 1 tengah hari.

Beliau bersama jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk Sihat Minda Umat Sejahtera sebelum menunaikan solat Jumaat diimamkan Ustaz Zainuddin Ab Rahman.

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna biru sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar.

Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Medan Selera Presint 16.

+ - reset