TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Konon tawar jadi pengasuh di Bangkok, rupanya sindiket nak jual di Myanmar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Okt - Seorang wanita menempuh detik cemas apabila hampir dijual sindiket penyeludupan manusia di Myanmar selepas menerima tawaran pekerjaan sebagai pengasuh di Bangkok. 

Menceritakan kembali, Nurul Huda Ahmad, 41, ditawarkan kadar upah sebanyak RM2000 bagi empat hari untuk menjadi pengasuh di Bangkok. 

Menurut Nurul Huda, dia sudah menjalankan pekerjaan tersebut selama lima tahun dan sering mengiklankan perkhidmatannya di media sosial termasuk Facebook.

“Kira-kira pukul 10 malam, saya dapat tawaran sebagai pembantu rumah dan pengasuh pelancongan melalui aplikasi WhatsApp yang memerlukan saya ke Bangkok bersama pelanggan. Saya bersetuju dan berlepas ke sana pada 13 Oktober serta tiba pada pukul 12.45 tengah hari.

“Ia kelihatan sangat semulajadi malah saya juga berkomunikasi dengan pelanggan itu bersama isterinya menerusi Zoom. Saya juga tidak syak apa-apa kerana pernah menerima tawaran serupa yang memerlukan saya ke Dubai dan Jepun sebelum ini,” katanya ketika sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, sebaik tiba di lapangan terbang Nurul berkata, dia ditahan oleh seorang lelaki dipercayai pegawai kastam dan diarahkan untuk mengikutinya ke meja pemandu pelancong.

“Kemudian saya dijemput oleh seorang pemandu menaiki sebuah kereta. Saya sepatutnya dibawa ke sebuah hotel di Bangkok, tetapi dibawa ke daerah Tak Maesot iaitu sempadan negara Myanmar pula,” ujarnya.

Tambahnya, sebaik tiba di sempadan Myanmar, dia diarahkan pemandu berkenaan supaya menyerahkan pasport untuk dicop seterusnya dibawa ke Myanmar tetapi wanita itu enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku kekecohan.

“Polis sempadan mengarahkan pemandu yang bawa saya supaya berhenti di tepi jalan. Kemudian saya jelaskan bahawa saya cuba diseludup ke Myanmar kepada polis berkenaan.

“Polis itu meminta pemandu terbabit beredar dan bantu saya dengan membelikan tiket bas ke Bangkok semula. Saya terus pulang ke Malaysia dari Hatyai ke Padang Besar, Perlis. Saya tidak pulang melalui penerbangan kerana bimbang ditangkap scammer semula,” tambahnya.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, scammer pemerdagangan manusia kini semakin bijak memperdaya dan oleh kerana itu, orang ramai perlu lebih berhati-hati.

“Saya nampak masalah ini tidak akan habis. Mereka tidak lagi guna taktik lama sebab itu kami di MHO memanggil mangsa untuk bercerita supaya tidak ada lagi yang terjebak dengan modus operandi sama.

“Kami nak beritahu masyarakat, apa yang patut dilakukan jika kenalan atau ahli keluarga kena tipu atau terkandas di sana akibat ditipu sindiket. Paling penting, jangan sesekali membayar wang tebusan yang diminta sindiket,” tegasnya. – Media Telus

 

 

 

+ - reset