TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kain seragam jururawat terlalu keras, ada yang sedekah jadi kain kafan - Guan Eng

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng membangkitkan isu kualiti kain seragam yang diberikan kepada jururawat kerajaan, yang didakwa sangat rendah sehingga menimbulkan banyak keluhan.

Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat berkata, jururawat kerajaan melaporkan bahawa kain seragam yang diterima terlalu keras dan sukar untuk dijahit, menyebabkan kedai jahit enggan menerimanya kerana boleh merosakkan mesin jahit.

Ada juga laporan bahawa kain seragam tersebut cepat berubah warna menjadi kuning, menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan jururawat, yang turut dikritik oleh ketua jururawat.

Beberapa jururawat dikatakan telah menyumbangkan kain seragam tersebut untuk digunakan sebagai kain kafan kerana tidak boleh dipakai.

Selain itu, jururawat terpaksa menerima kain tersebut bagi memastikan mereka layak untuk mendapatkan bantuan upah jahit sebanyak RM690 bagi tiga pasang pakaian seragam.

Jika mereka menolak kain tersebut atau membuat aduan, bantuan ini tidak akan diberikan kepada mereka.

Lim Guan Eng mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberikan maklumat terperinci mengenai kontrak pembekalan kain seragam ini, termasuk harga tender dan nama syarikat yang bertanggungjawab membekalkan kain tersebut.

Beliau turut meminta agar tindakan diambil terhadap syarikat pembekal jika kain yang dibekalkan tidak memenuhi standard kualiti.

Tambahnya, petugas barisan hadapan yang telah berkorban sepanjang pandemik COVID-19 tidak seharusnya menerima barang berkualiti rendah seperti ini. - Media Telus

+ - reset