TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan lulus laksana 35 projek PPKI bernilai RM716.4 juta tahun hadapan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Okt - Kementerian Pendidikan (KPM) menerima kelulusan bagi 35 projek baharu bernilai RM716.4 juta membabitkan pembinaan bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di seluruh negara tahun depan, termasuk pembinaan dua sekolah pendidikan khas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata dua sekolah pendidikan khas itu adalah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran di Sabah dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Johor Bahru di Johor dengan kos RM300 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 2,855 Murid Berkeperluan Khas (MBPK).

"Dua sekolah pendidikan khas baharu juga sedang dalam proses pembinaan seperti SMPKV Padawan di Sarawak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bandar Enstek di Negeri Sembilan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu sama ada kementerian telah mengkaji keperluan untuk memperluas akses sekolah yang menawarkan pendidikan khas serta kadar MBPK hingga kini.

Selain itu, Kah Woh berkata terdapat empat projek penggantian Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) bertujuan mengatasi isu sekolah menumpang iaitu SKPK Taiping di Perak; SKPK Sibu di Sarawak; SKPK Jalan Peel di Kuala Lumpur dan SKPK Seremban di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, RM10 juta turut disediakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk membantu sekolah autisme swasta yang berdaftar dengan KPM.

"Elaun MBPK sebanyak RM150 sebulan terus disediakan dan memberi manfaat kepada lebih 110,000 MBPK termasuk murid autisme serta melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta," katanya.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2025, Kah Woh berkata komitmen kerajaan terhadap pendidikan bagi MBPK dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 11 Pusat PERMATA baharu dilengkapi dengan pusat didikan kanak-kanak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu dalam soalan berasingan, beliau berkata KPM menyalurkan peruntukan RM31 juta tahun ini bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas di 310 sekolah kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang tidak sempat disiapkan tahun lalu.

Selain itu, Kah Woh berkata KPM juga menyediakan RM134.33 juta peruntukan khas bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil kemudahan tandas kepada sekolah bantuan kerajaan dengan RM124.73 juta sudah disalurkan setakat Oktober ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berhubung data semasa projek penyelenggaraan tandas institusi pendidikan KPM bagi 2024.

+ - reset