TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cikgu Anas nafi bertindak kasar, hadir untuk siasat masalah peniaga

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 22 Okt – Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Salmy Anas Ahmad, yang dikenali sebagai Cikgu Anas, menolak dakwaan bahawa dia bertindak kasar terhadap wakil peniaga dalam satu kejadian yang tersebar luas di media sosial baru-baru ini.

Anas menjelaskan bahawa kehadirannya di tapak pasar malam Jalan Pegawai pada jam 11.30 malam adalah untuk menyiasat masalah yang disampaikan oleh peniaga.

Beliau merancang untuk berbincang dengan ketua peniaga, Syukor, namun kehadiran Presiden Ikhlas Kedah, Sarjakhan Abu Bakar, bersama seorang lagi individu mengubah suasana pertemuan tersebut.

"Saya perhatikan Sarjakhan ada bersama Syukor. Saya tidak mahu meneruskan perbincangan kerana kehadiran Sarjakhan bagi mengelakkan sebarang isu politik," kata Anas dalam satu kenyataan.

Ketika Anas cuba beredar, beliau mendakwa Sarjakhan menjerit memanggilnya sambil merakam video, memaksanya untuk berhenti dan bertemu.

"Saya minta dia hentikan rakaman dan berbincang secara baik, tapi dia terus menjerit dan merakam," katanya.

Anas menambah bahawa Sarjakhan kemudian cuba mendekatinya sehingga hampir melanggarnya, menyebabkan Anas hampir terjatuh dan tersentuh badannya secara tidak sengaja.

Sarjakhan kemudian bertindak seolah-olah dia dicederakan dan mula menjerit, menarik perhatian peniaga lain.

"Saya masuk ke kereta bersama Syukor untuk berbincang dengan lebih lanjut, namun beberapa peniaga lain mula menghampiri saya," katanya.

Anas juga menyatakan bahawa perbincangan dengan Syukor berlangsung hingga jam 12.40 tengah malam sebelum beliau meninggalkan kawasan tersebut.

Insiden itu menjadi bualan ramai selepas video pertengkaran antara Anas dan seorang individu awam tular, di mana beliau kini telah dipanggil untuk memberikan keterangan mengenai kejadian di pasar malam Jalan Pegawai. - Media Telus

+ - reset