TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga anggota polis tak mengaku minta suapan RM3,000 daripada pasangan kekasih

By
|
Kongsi
image

MELAKA 22 Okt - Dua anggota polis berpangkat koperal dan seorang lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan meminta dan menerima suapan RM3,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pasangan kekasih dalam kenderaan, tahun lalu.

Tertuduh, Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, 29, Muhamad Adham Samsudin, 34, dan Muhammad Najib Muhamad, 36, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Muntaqim Abdul Aziz di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, semua anggota polis itu didakwa dengan niat bersama meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap lelaki dan perempuan kerana berdua-duaan di dalam kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan di bilik rehat Balai Polis Melaka Tengah pada 7 Oktober 2023, pada jam 3.30 pagi dan di Pondok Polis Pelancong, Jonker Walk, di sini, pada jam 4.30 pagi.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi.

Abd Muntaqim mencadangkan jaminan RM10,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan selain pasport diserah kepada mahkamah.

Peguam merayu jaminan rendah dengan alasan gaji pokok ketiga-tiga tertuduh antara RM2,400 dan RM3,300, serta mempunyai tanggungan keluarga dan anak kecil.

Selepas menimbangkan hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 seorang berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 20 November ini untuk sebutan semula kes.

+ - reset