TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

'Kawan makan kawan', buruh didakwa rogol anak rakan sendiri

By
|
Kongsi
image

IPOH 22 Okt – Seorang buruh ladang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan merogol anak rakannya berusia 14 tahun, Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Muhamaad Sofie Wan Supian, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang juga anak kepada rakannya di sebuah rumah di Kampung Sungai Timah, Mukim Bandar, Perak Tengah, pada jam 10 pagi, 2 Julai lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

"Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, saya mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah memberikan jumlah jaminan minimum atas alasan dia hanya bekerja sebagai sebagai pengangkat baja dengan pendapatan RM50 sehari.

Selain itu, anak sulung itu juga perlu menanggung lima adiknya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali bagi setiap dua bulan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 25 November ini. 

+ - reset