TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Gagal keluar wang untung, jurutera rugi hampir RM2 juta ditipu pelaburan tidak wujud

By
|
Kongsi
image

 

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

JOHOR BAHRU 19 Okt - Seorang jurutera berputih mata apabila kerugian lebih RM1.9 juta akibat daripada terpedaya dengan tawaran pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki berusia 64 tahun yang juga warga Singapura membuat laporan polis, kelmarin, selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan pelaburan saham itu sejak melihat iklannya di Facebook Disember 2023.

Beliau berkata, ketika berada di Singapura pada tahun lalu, mangsa melihat iklan pelaburan di Facebook dan menekan pautan yang diberikan untuk mengetahui maklumat lanjut. 

"Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp pelaburan yang mana dia diberi penerangan mengenai cara untuk melabur.

"Mangsa hanya perlu mengeluarkan modal sahaja, manakala urusan pelaburan akan dilakukan serta diuruskan sepenuhnya oleh pihak syarikat.

"Mangsa dijanjikan pulangan antara lima peratus hingga 12 peratus daripada jumlah pelaburan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Kumar, oleh kerana berminat dan percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa mengikut semua arahan suspek dan memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank di Malaysia, membabitkan RM1.948 juta.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal untuk membuat pengeluaran wang keuntungan dan diminta membuat bayaran lain.

"Suspek juga kemudiannya gagal dihubungi," jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. - Media Telus

+ - reset