Berita Jenayah
Wang simpanan RM1.75 juta milik pesara guru 'licin' ditipu 'phone scam'
Oleh NUR LELA ZULKIPLI
KUALA LUMPUR 17 Okt - Seorang pesara guru berusia 72 tahun berputih mata apabila kesemua wang simpanannya berjumlah RM1.75 juta lenyap selepas menjadi mangsa penipuan 'phone scam' di Sandakan, Sabah, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 9 Oktober lalu dan pemanggil yang menyamar sebagai pegawai SKMM mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram.
"Mangsa kemudian diarahkan untuk menyenaraikan semua akaun perbankan miliknya dan diminta 'mengangkat sumpah' untuk merahsiakan perkara itu.
"Selain itu, mangsa diarahkan melaporkan diri kepada kononnya seorang pegawai polis dari Bukit Aman setiap dua kali sehari," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK di sini, hari ini.
Ramli berkata, mangsa kemudian diarahkan mengeluarkan semua wang simpanan miliknya dan dimasukkan ke empat akaun bank.
"Mangsa juga diminta memasukkan semua kad pengeluaran wang automatik (ATM), maklumat nombor pin serta kad sim yang digunakan ke dalam satu sampul surat.
"Seterusnya diletakkan di dalam semak berdekatan sebuah lorong kononnya bagi membolehkan pihak penyiasat membuat audit.
"Mangsa hanya menyedari diperdaya apabila mendapati semua wang miliknya dikeluarkan dan dipindahkan tanpa pengetahuannya," katanya.
Ramli berkata, melalui kes itu dapat dilihat bagaimana sindiket secara berterusan memberi tekanan kepada mangsa melalui arahan untuk melapor diri selain ditegah bercerita kepada orang lain berkaitan kes itu.
"Taktik ini digunakan untuk mengawal mangsa supaya terus berada dalam ketakutan dan menyekat mereka dari berfikir secara rasional.
"Mangsa yang gagal berfikir secara rasional akan cenderung untuk mengikut apa jua arahan yang diberikan sehingga akhirnya mengakibatkan kerugian," katanya.
Justeru, katanya, bagi mencegah berlakunya penipuan seperti itu, sentiasa dapatkan nasihat atau pandangan daripada keluarga, rakan, kenalan atau sesiapa jua setiap kali menerima panggilan yang mencurigakan.
"Penting juga untuk masyarakat tahu walaupun perkhidmatan agensi kerajaan adalah cekap, namun ia masih belum sampai ke tahap untuk memindahkan panggilan dari satu agensi ke agensi lain dengan cepat.
"Maka, sekali lagi kami nasihatkan supaya jangan layan dan jangan percaya sebarang panggilan yang datangnya dari individu tidak dikenali lebih-lebih lagi apabila panggilan tersebut berpindah dari satu agensi ke agensi lain dengan cukup mudah," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Media Telus
Berita berkaitan
November 21, 2024, 3:59 pm
Hentakan objek tumpul di dada punca kematian wanita disorok dalam 'freezer' - Polis
November 21, 2024, 2:18 pm
Polis cari wanita bantu siasatan kes pukau barang kemas
November 21, 2024, 1:52 pm
Empat rakan sekerja didakwa rogol remaja bawah umur
November 20, 2024, 3:36 pm
Ambil rasuah RM1,000 atas kesalahan cukai jalan, 4 penguat kuasa Negeri Sembilan ditahan
November 20, 2024, 12:16 pm
Suami isteri warga Filipina fasih cakap BM ditahan di KL beli MyKad palsu RM250
November 19, 2024, 10:07 pm
Pengasuh dijel 6 bulan, denda RM10,000 dera bayi tujuh bulan hingga alami pendarahan otak
November 19, 2024, 5:53 pm
Polis tumpas sindiket dadah di Kajang, lebih 39 kilogram dadah dirampas
November 19, 2024, 11:43 am
Empat individu diburu lepas tembakan dalam premis beli hasil sawit
November 18, 2024, 4:27 pm
'Cari pelaku sampai dapat!' - Budak 10 tahun 'mati otak' dilanggar lari ketika berbasikal di Kuang
November 16, 2024, 11:54 am