TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis lepas 3 das tembakan, tahan lelaki bawa dadah dalam kereta

By
|
Kongsi
image

JOHOR BARU 17 Okt. - Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam satu kejadian  di Jalan Dato' Abdullah Tahir, semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar 6.50 petang itu bermula apabila polis mengarahkan kenderaan suspek berhenti untuk pemeriksaan rutin, namun suspek bertindak melarikan diri.

Dalam usaha meloloskan diri, lelaki itu memandu secara berbahaya melawan arus dan melanggar tiga buah kenderaan, memaksa polis melepaskan tiga das tembakan amaran ke arah tayar kereta suspek.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata tindakan tembakan dilakukan selepas suspek cuba melanggar anggota polis dan membahayakan nyawa orang awam.

“Polis tiada pilihan lain selain melepaskan tembakan amaran kerana suspek memandu secara melulu dan cuba melanggar anggota kami," katanya dalam kenyataan.

Kenderaan suspek, sebuah Honda Accord, akhirnya berjaya diberhentikan setelah terkena tembakan di tayar. Pemeriksaan lanjut menemui 296 gram heroin di dalam kenderaan tersebut.

Suspek turut disahkan positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai 16 rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan jenayah dan dadah.

Walaupun insiden ini berakhir tanpa sebarang kecederaan, tiga buah kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar suspek.

Suspek kini direman dan bakal berdepan pelbagai tuduhan, termasuk cubaan membunuh, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana pengedaran dadah. Dia juga akan didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

Kumar mengesahkan tiada mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian lima minit itu, tetapi kerosakan serius dilaporkan pada kenderaan-kenderaan yang terlibat. - Media Telus

+ - reset