Berita Berita
PTPTN ziarah, tanggung hutang pinjaman pengajian mangsa kemalangan maut UiTM Dungun
AMPANG 16 Okt - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Ziarah PTPTN Prihatin menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, di Kampung Pandan Dalam di sini, semalam.
Khairil Anwar, 20, adalah seorang daripada tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan dirempuh seorang wanita memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 9 Oktober lalu.
Allahyarham Khairil Anwar yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan adalah peminjam PTPTN dan pada sesi ziarah itu, agensi terbabit memberikan surat pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman bagi pengajian peringkat ijazah Allahyarham berjumlah RM7,092.51.
Keluarga mangsa turut menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
Selain itu, keluarga Khairil Anwar turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 dan sumbangan kotak makanan yang diserahkan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim kepada ibu dan bapa Allahyarham.
Norliza berkata, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara, akan terus komited melaksanakan program CSR dan menjaga kebajikan peminjamnya.
Katanya, dengan keprihatinan PTPTN itu, ia diharap dapat membantu meringankan beban ditanggung waris peminjam PTPTN.
"Ketabahan keluarga Allahyarham menghadapi tragedi ini sesuatu yang sangat menginspirasikan.
"Kami di PTPTN ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham dan semoga sumbangan ini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarham dalam waktu sukar ini.
"Setiap sumbangan diberikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan lebih baik bagi keluarga terbabit," katanya ditemui di Kampung Pandan Dalam di sini.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Pejabat PTPTN Selangor, Rohaida Deris.
Norliza berkata, Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok bertujuan melindungi jumlah pinjaman dikeluarkan PTPTN kepada peminjam untuk tempoh 24 jam sehari.
Katanya, ia membabitkan seluruh dunia sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.
"Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun pinjaman yang dikeluarkan PTPTN kepada semua pinjaman akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik PTPTN," katanya.
Beliau berkata, bagi mana-mana peminjam yang meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.
Sementara itu, bapa Allahyarham Khairil Anwar, Jamaludin Hussin, 53, berkata beliau bersyukur dengan keprihatinan PTPTN menziarahi mereka sekeluarga.
Katanya, dia dan isteri, Norma Mohamed Nor, 52, turut terharu dengan sumbangan dan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman arwah anaknya.
"Saya akur jika kami perlu membayar hutang pinjaman pelajarannya kerana hutang wajib dibayar, namun tidak sangka Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN mempunyai perlindungan takaful," katanya.
Beliau berkata, arwah yang juga anak anak ketiganya yang sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah turut membuat pinjaman PTPTN.
Katanya, dia bersyukur dengan adanya PTPTN di Malaysia, ramai anak-anak mampu menyambung pengajian dan mengejar cita-cita mereka.
Berita berkaitan
December 21, 2024, 3:23 pm
Kerajaan teruskan pemberian penghargaan khas kepada pesara – PM
December 21, 2024, 3:09 pm
Kerajaan Persekutuan adil salur peruntukan ke negeri pembangkang – PM
December 21, 2024, 2:59 pm
JAIS henti sesi pengajaran sekolah agama di Serdang susulan kes pelajar maut
December 21, 2024, 11:30 am
Amaran ribut petir, hujan lebat dijangka landa Perak, Selangor, Sabah
December 21, 2024, 11:23 am
Penyanyi wanita ditahan miliki pil kuda di Sungai Golok alami kemurungan teruk
December 21, 2024, 11:15 am
Tol percuma pada 23, 24 Disember sempena Krismas
December 21, 2024, 11:08 am
UM buat laporan polis kes kematian ngeri kucing di kampus
December 21, 2024, 10:56 am
Anwar tegas kerajaan kekal komited pada agenda reformasi
December 20, 2024, 11:11 pm
Malaysia lanjut pengecualian visa warga India hingga 2026
December 20, 2024, 8:56 pm