TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mangsa banjir di Temerloh meningkat

By
|
Kongsi
image

TEMERLOH 16 Okt. - Jumlah mangsa banjir di Temerloh terus meningkat, dengan 1,526 orang daripada 463 keluarga ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 9 pagi tadi.

Menurut laman web Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS baru dibuka, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin yang menempatkan 96 mangsa daripada 36 keluarga, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab yang menempatkan 60 mangsa daripada 17 keluarga.

Empat PPS yang dibuka sejak 12 Oktober lalu masih menempatkan mangsa banjir, antaranya di dewan SMK Seri Semantan, Temerloh, dengan 693 mangsa daripada 213 keluarga dan PPS SK Desa Bakti menempatkan 566 mangsa daripada 163 keluarga. Di PPS SK Mentakab (Chatin), 23 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan, manakala PPS Masjid Kampung Bongsu di Mentakab menempatkan 20 mangsa daripada lima keluarga.

PPS lain yang masih beroperasi termasuk SK Lanchang yang menempatkan 36 mangsa daripada 12 keluarga, serta Balai Raya Mempateh yang menempatkan 32 mangsa daripada tujuh keluarga.

Secara keseluruhan, terdapat 617 lelaki, 452 wanita, 199 kanak-kanak lelaki, 188 kanak-kanak perempuan, serta 36 bayi lelaki dan 34 bayi perempuan yang berada di semua lapan PPS.

Menurut laporan Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab mencatatkan kenaikan kepada 36.18 meter, melepasi paras amaran berbanding 33.5 meter sebelum ini. - Media Telus

+ - reset