TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MB Selangor nafi pembangunan berlebihan di kawasan tanah runtuh Taman Melawati

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Okt.- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menafikan berlakunya pembangunan berlebihan di kawasan tanah runtuh di Taman Melawati, dengan menegaskan bahawa pembangunan di kawasan tersebut telah mendapat kelulusan lebih sedekad lalu.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan kebenaran merancang untuk kawasan itu 10 tahun lalu melalui Jawatankuasa Teknikal untuk Pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

"Pembangunan di situ belum siap sepenuhnya dan ia bukan pembangunan berketumpatan tinggi, tetapi lebih kepada lot banglo. Mereka telah melalui proses yang betul dan diluluskan. Isu utama sekarang adalah penyelenggaraan – termasuk penyelenggaraan jalan dan sistem perparitan yang telah dibina," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati.

Amirudin juga menegaskan bahawa seluruh kawasan tersebut, termasuk jalan dan perparitannya, masih berada di bawah bidang kuasa pemaju atau pemilik tanah. Kerajaan negeri telah mengeluarkan notis kepada pihak terlibat untuk memastikan penyelenggaraan dan pembaikan dilakukan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan tindakan atau penalti terhadap pihak bertanggungjawab, beliau menyatakan bahawa pihaknya akan meneliti undang-undang yang ada. Bagaimanapun, keutamaan ketika ini adalah usaha menyelamatkan mangsa dan membaiki kawasan yang terjejas.

"Sekarang fokus kita adalah menyelamatkan mangsa dan memastikan keselamatan. Selepas itu, kita akan teruskan dengan penyelenggaraan dan pembaikan kerosakan seperti tanah runtuh. Selepas itu, tindakan akan diambil mengikut undang-undang," katanya.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat, menyebabkan lereng bukit seluas 20 meter kali 20 meter runtuh dari ketinggian 30 meter. Pihak polis juga telah mengarahkan penduduk dari 20 rumah berhampiran kawasan runtuhan untuk mengosongkan kediaman mereka. - Media Telus

+ - reset