TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Harga siling beras tempatan perlu disemak semula - Mohamad Sabu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mencadangkan supaya harga siling beras tempatan disemak semula dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos masa hadapan, serta pergerakan harga beras putih di pasaran dunia.

Beliau menjelaskan bahawa harga maksimum bagi beras putih tempatan (BPT) telah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak 2008.

Langkah itu diambil bagi memastikan rakyat terus mendapat harga berpatutan, walaupun harga makanan tersebut di peringkat global meningkat dengan mendadak.

Namun begitu, menurut Mohamad, selepas 16 tahun, harga siling BPT belum lagi disemak walaupun harga belian padi terus meningkat.

"Sejak 2008, harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM750 per tan kepada RM1,200 per tan pada 2014, dan terkini pada RM1,300 per tan, namun harga BPT masih kekal tidak berubah," katanya ketika menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat.

Bagi menangani isu ini, Mohamad memaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara, termasuk menyelidik daya saing dan struktur harga.

Selain itu, KPKM juga sedang menunggu laporan daripada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai kajian industri padi dan beras, yang dijangka akan membantu dalam penambahbaikan industri tersebut melalui pasukan petugas yang telah ditubuhkan.

"KPKM memberi komitmen bahawa kebajikan pesawah akan terus menjadi keutamaan dan diberikan perhatian yang sewajarnya," tambahnya.

Pada akhir tahun lalu, Pengilang Beras Malaysia memberi cadangan untuk menaikkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan jika harga siling BPT dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram.

Langkah ini dijangka membantu dalam memastikan masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran, terutamanya pesawah. - Media Telus

+ - reset