TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis tumpas sindiket dadah terbesar bernilai RM49.17 juta di Kelantan

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 15 Okt – Sindiket dadah jenis pil kuda dan heroin terbesar di negara ini akhirnya tumpas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan merampas kedua-dua jenis dadah tersebut yang bernilai RM49.17 juta. 

Rampasan itu dibuat melalui serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, di sini, minggu lalu.

Serbuan di rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah tersebut dijalankan kira-kira jam 9.05 malam pada 7 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, semasa serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 32 tahun berada di dalam rumah itu bersama kesemua dadah tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian tengah rumah itu menjumpai bungkusan yang berisi pil kida dengan berat lebih 652 kilogram (kg) dan heroin seberat 2.6 kg.

“Siasatan mendapati, suspek sudah menjadikan rumah tersebut sebagai stor untuk menyimpan dadah-dadah tersebut sejak Jun lalu, namun sudah menyewa rumah itu bermula 2022.

“Lelaki itu dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ atau penghantar kepada dadah-dadah tersebut. Suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM100 untuk setiap penghantaran satu bungkusan berisi 2,000 biji pil kuda.

“Setakat ini, kita masih belum memperoleh jumlah sebenar dadah-dadah yang sudah diedarkan oleh suspek ke pasaran sebelum tangkapan dijalankan,” katanya dalam laporan Kosmo.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di IPK Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Chin memberitahu, siasatan mendapati, pil kuda sebanyak 5.59 juta biji dan heroin itu dipercayai sudah seminggu berada di rumah tersebut.

Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai disimpan di rumah tersebut sebelum diedarkan untuk pasaran negeri-negeri di Pantai Tinur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Dadah itu boleh dibekalkan kepada seramai 6.78 juta penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran. Ini merupakan rampasan terbesar melibatkan pil kuda di negara ini sepanjang tahun ini.

“Berdasarkan siasatan, pil kuda mempunyai permintaan yang tinggi. Dadah yang berada di rumah tersebut juga tidak boleh disimpan lama kerana ia melibatkan kuantiti yang banyak,” ujarnya.

Menurut Kok Chin, siasatan lanjut mendapati, suspek yang merupakan seorang penganggur positif dadah jenis benzo dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

Beliau berkata, polis ketika ini sedang mengenal pasti dan menyiasat suspek atau ahli-ahli sindiket lain yang terlibat dalam kegiatan pengedaran kesemua dadah-dadah tersebut.

Katanya, selain itu, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal yang bernilai RM60,000 yang berada di rumah tersebut turut dirampas.

Tambahnya, suspek sudah ditahan reman bermula 9 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

+ - reset