Berita Jenayah
Ketua penyamun emas ditembak mati di Tanjung Malim, hasil rompakan cecah RM34.2 juta
Oleh NUR LELA ZULKIPLI
IPOH 14 Okt – Seorang lelaki ditembak mati dipercayai menjadi dalang sindiket samun bersenjata yang menyasarkan pemborong emas di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim, awal pagi ini.
Pemeriksaan latar belakang oleh polis menunjukkan suspek adalah 'perancang utama' kumpulan penjenayah yang menyasarkan emas yang dibawa pemborong.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata bahawa Pusat Kawalan Daerah Muallim menerima maklumat kejadian tembak-menembak antara seorang penjenayah dan pihak polis pada jam 3.10 pagi tadi.
"Ketika menjalankan rondaan dan risikan, polis mengesan seorang lelaki yang memandu laju sebuah Nissan Almera di sepanjang Jalan Slim.
"Polis mengarahkan lelaki berusia 43 tahun itu supaya memberhentikan kenderaannya, tetapi dia terus memecut laju dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta peronda polis.
"Bagi mempertahankan diri, polis membalas tembakan dan terkena suspek. Lelaki itu disahkan mati di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Tanjung Malim," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak hari ini.
Azizi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu berasal dari Klang, Selangor dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan rompakan berkumpulan, sengaja menyebabkan kecederaan, dan penipuan.
"Semasa pemeriksaan ke atas kereta itu, polis merampas sepucuk pistol Sig Sauer, satu kelopak peluru, enam butir peluru, tiga botol berisi peluru pistol dan dua bilah parang.
"Dalam insiden tembak-menembak itu, sebuah kereta peronda polis terkena tembakan di pintu belakang sebelah kiri penumpang," katanya sambil menambah bahawa tiada anggota polis yang cedera dalam kejadian itu.
"Pemeriksaan menunjukkan bahawa kumpulan ini telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes rompakan emas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak sejak 2018.
"Jumlah kerugian dianggarkan daripada 25 kes ini adalah sebanyak RM34.2 juta," katanya.
Azizi berkata bahawa dalam kejadian terbaru, suspek terlibat dalam rompakan pembekal emas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 27 Ogos tahun ini.
"Kejadian itu mengakibatkan kehilangan 4.5kg emas, yang dianggarkan bernilai RM1.485 juta," katanya, sambil menambah polis sedang mengesan baki ahli kumpulan ini bagi menghalang insiden jenayah seterusnya.
Berita berkaitan
November 21, 2024, 3:59 pm
Hentakan objek tumpul di dada punca kematian wanita disorok dalam 'freezer' - Polis
November 21, 2024, 2:18 pm
Polis cari wanita bantu siasatan kes pukau barang kemas
November 21, 2024, 1:52 pm
Empat rakan sekerja didakwa rogol remaja bawah umur
November 20, 2024, 3:36 pm
Ambil rasuah RM1,000 atas kesalahan cukai jalan, 4 penguat kuasa Negeri Sembilan ditahan
November 20, 2024, 12:16 pm
Suami isteri warga Filipina fasih cakap BM ditahan di KL beli MyKad palsu RM250
November 19, 2024, 10:07 pm
Pengasuh dijel 6 bulan, denda RM10,000 dera bayi tujuh bulan hingga alami pendarahan otak
November 19, 2024, 5:53 pm
Polis tumpas sindiket dadah di Kajang, lebih 39 kilogram dadah dirampas
November 19, 2024, 11:43 am
Empat individu diburu lepas tembakan dalam premis beli hasil sawit
November 18, 2024, 4:27 pm
'Cari pelaku sampai dapat!' - Budak 10 tahun 'mati otak' dilanggar lari ketika berbasikal di Kuang
November 16, 2024, 11:54 am