Berita Jenayah
'MUA' transgender didakwa cedera anak angkat hingga patah kaki di Port Dickson
SEREMBAN 10 Okt - Seorang jurusolek transgender didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak angkatnya yang berusia enam tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, S Asok Kumar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah menyebabkan kecederaan fizikal kepadanya iaitu patah kaki kanan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Desa Rusa, Batu 4, Port Dickson lebih kurang jam 7.30 petang pada 3 November 2022.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
Peguam, Dinesh Muthal memohon jaminan yang minimum dan memaklumkan yang anak guamnya adalah transgender serta perlu menanggung ibunya yang dirawat di hospital akibat sakit berkaitan mental.
"Tertuduh merupakan transgender bekerja sebagai jurusolek yang mana tidak semua orang boleh menerima komuniti mereka.
"Pendapatannya juga bermusim iaitu sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan," katanya dalam laporan Sinar Harian.
Tambahnya, sepanjang tahun 2022, tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan hanya ditangkap baru-baru ini melibatkan kes lain tetapi mangsa yang sama.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Port Dickson sekali sebulan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 November depan.
Dalam pada itu di kamar Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pengemas bilik hotel tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sama pada 30 September lalu, jam 10 malam di lokasi sama.
Tertuduh, T C Peter, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan hukum denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian menawarkan jaminan RM50,000 dan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Peguam, Mohd Hanif Hassan memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh menghidap sakit buah pinggang dan menanggung ibunya yang sakit.
Beliau turut memaklumkan yang mangsa dalam kes itu merupakan anak angkat kepada rakan anak guamnya yang turut dituduh di mahkamah pada Khamis.
Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 November depan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan dalam keadaan tanpa berpakaian dengan kesan luka pada badan di dalam bilik sebuah rumah di Batu 4, Port Dickson.
Kejadian itu diketahui selepas seorang wanita warga emas yang menjaganya sebelum ini berasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi mangsa.
Berita berkaitan
November 21, 2024, 3:59 pm
Hentakan objek tumpul di dada punca kematian wanita disorok dalam 'freezer' - Polis
November 21, 2024, 2:18 pm
Polis cari wanita bantu siasatan kes pukau barang kemas
November 21, 2024, 1:52 pm
Empat rakan sekerja didakwa rogol remaja bawah umur
November 20, 2024, 3:36 pm
Ambil rasuah RM1,000 atas kesalahan cukai jalan, 4 penguat kuasa Negeri Sembilan ditahan
November 20, 2024, 12:16 pm
Suami isteri warga Filipina fasih cakap BM ditahan di KL beli MyKad palsu RM250
November 19, 2024, 10:07 pm
Pengasuh dijel 6 bulan, denda RM10,000 dera bayi tujuh bulan hingga alami pendarahan otak
November 19, 2024, 5:53 pm
Polis tumpas sindiket dadah di Kajang, lebih 39 kilogram dadah dirampas
November 19, 2024, 11:43 am
Empat individu diburu lepas tembakan dalam premis beli hasil sawit
November 18, 2024, 4:27 pm
'Cari pelaku sampai dapat!' - Budak 10 tahun 'mati otak' dilanggar lari ketika berbasikal di Kuang
November 16, 2024, 11:54 am