Berita Jenayah
Sindiket pecah rumah didalangi warga asing tumpas
Oleh AZRUL RADI
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Polis menumpaskan satu sindiket pecah rumah dalam beberapa siri serbuan pada 5 dan 6 Oktober lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Subang Jaya yang didalangi warga asing.
Ketua Polis Selangor, Datu Hussein Omar Khan berkata, sejak Januari hingga September lalu, sebanyak lapan kejadian pecah rumah telah direkodkan di Sabak Bernam, menyasarkan rumah dua tingkat yang tidak berpenghuni.
"Satu pasukan khas telah ditubuhkan hasil kerjasama antara Bahagian D4 JSJ Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sabak Bernam. Selepas dua bulan siasatan dan risikan, pasukan tersebut berjaya membongkar dalang beberapa kes pecah rumah di daerah tersebut.
"Berdasarkan maklumat risikan, pada 5 dan 6 Oktober 2024, pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bersama BSJD Sabak Bernam melancarkan beberapa siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Subang Jaya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Hussein, serbuan pertama yang dilakukan pada 5 Oktober lalu kira-kira pukul 10.50 malam di kawasan parkir sebuah hotel di Jalan U Thant, Kuala Lumpur.
Jelasnya, lima lelaki warga asing ditahan bersama pelbagai jenis barang yang dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah.
Turut dirampas adalah peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah dan sebuah kereta Perodua Alza berwarna hitam.
"Hasil siasatan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah bilik hotel di Jalan U Thant pada hari yang sama, di mana seorang lagi lelaki warga asing turut ditahan bersama barang-barang curi.
"Pada 6 Oktober, kita berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan di sebuah kondominium di Subang Jaya, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pecah rumah tersebut. Dalam serbuan ketiga ini, pihak polis turut merampas pelbagai barangan curi serta sebuah kereta Perodua Bezza berwarna merah," katanya.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an, dan mereka yang merupakan warga asing gagal mengemukakan dokumen perjalanan semasa ditahan.
Ujarnya, kedua-dua kenderaan yang dirampas disahkan tidak mempunyai rekod kehilangan dan dipercayai disewa oleh kumpulan tersebut untuk melakukan jenayah.
"Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan pecah rumah pada waktu malam dan awal pagi, dan mereka turut aktif di Negeri Sembilan, Pahang, dan Perak. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk membongkar lebih banyak kegiatan kumpulan ini.
"Kita menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan kejiranan masing-masing. Sebarang aktiviti yang mencurigakan perlu dilaporkan segera kepada pihak polis untuk tindakan pantas, seiring dengan slogan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada," katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
November 21, 2024, 3:59 pm
Hentakan objek tumpul di dada punca kematian wanita disorok dalam 'freezer' - Polis
November 21, 2024, 2:18 pm
Polis cari wanita bantu siasatan kes pukau barang kemas
November 21, 2024, 1:52 pm
Empat rakan sekerja didakwa rogol remaja bawah umur
November 20, 2024, 3:36 pm
Ambil rasuah RM1,000 atas kesalahan cukai jalan, 4 penguat kuasa Negeri Sembilan ditahan
November 20, 2024, 12:16 pm
Suami isteri warga Filipina fasih cakap BM ditahan di KL beli MyKad palsu RM250
November 19, 2024, 10:07 pm
Pengasuh dijel 6 bulan, denda RM10,000 dera bayi tujuh bulan hingga alami pendarahan otak
November 19, 2024, 5:53 pm
Polis tumpas sindiket dadah di Kajang, lebih 39 kilogram dadah dirampas
November 19, 2024, 11:43 am
Empat individu diburu lepas tembakan dalam premis beli hasil sawit
November 18, 2024, 4:27 pm
'Cari pelaku sampai dapat!' - Budak 10 tahun 'mati otak' dilanggar lari ketika berbasikal di Kuang
November 16, 2024, 11:54 am