TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Allan Andersn: Cipta nama dari X Factor Indonesia ke pentas antarabangsa

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Penyanyi kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara berusia 33 tahun, Allan Andersn, semakin melonjak popularitinya selepas menyertai program realiti X Factor Indonesia musim ketiga.

Meskipun berjaya meraih tempat kedua sebagai vokalis kumpulan 2nd Chance, Allan memilih untuk memulakan kerjaya solonya pada 7 Disember 2022.

Joan Allan Anderson, nama sebenarnya, mengakui bahawa keputusan untuk bergerak secara solo bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, dia berusaha menerima perpisahan tersebut dan akhirnya menemui kebahagiaan dalam perjalanan muziknya sendiri.

"X Factor Indonesia membuka pintu dan peluang baharu bagi saya untuk mengejar impian dalam industri muzik. Program itu turut mengukuhkan lagi langkah saya dalam dunia muzik," ujarnya.

Walaupun mendapat perhatian besar kerana kekuatan vokalnya, Allan tetap rendah diri dan bersyukur atas bakat yang dianugerahkan Tuhan. Dikenali dengan penyampaian lagu yang penuh emosi dan penceritaan, Allan merasa terharu dengan sokongan luar biasa daripada peminat.

"Saya melihat penerimaan orang ramai sebagai peluang untuk terus belajar dan berkembang dalam industri ini. Saya tidak pernah menjadikan populariti sebagai matlamat utama, sebaliknya bagaimana saya boleh memberikan sesuatu yang bermakna melalui muzik," katanya.

Antara single yang pernah dihasilkannya termasuk "Dear AA", "Jalan Yang Berbeda", "Jalan Terbaiknya", "Be Mine", dan "Dimiliki Dia", yang semuanya digarap dan diterbitkan sendiri olehnya.

Mengimbau perjalanan kariernya, Allan pernah mencipta kejayaan melalui program The Band terbitan Astro pada 2011 dan Russian Music Box pada tahun yang sama. Perlahan-lahan, impiannya mula tercapai dengan jalan cerita yang indah selepas berusaha sekian lama.

Lagu "Rindu" yang pernah dipopularkan oleh Agnes Monica dan dirakam semula olehnya, meninggalkan kenangan manis apabila kerjaya nyanyiannya berkembang ke Malaysia dan Brunei Darussalam.

"Lagu ini sangat istimewa bagi saya, dan saya ingin menyanyikannya semula dengan susunan muzik yang lebih mencerminkan diri saya sekarang. Secara peribadi, lagu ini telah mengubah banyak perkara dalam hidup saya, dan saya sangat berterima kasih atas itu," jelas Allan.

Dia melihat lagu tersebut sebagai berkat yang datang pada masa yang tepat. Walaupun ada yang mengenalinya melalui lagu itu, Allan tidak merasa terbeban. Sebaliknya, ia menjadi motivasi untuk terus memperkenalkan diri dan karya-karyanya yang lain dengan lebih baik.

Persembahan "An Evening With Allan Andersn In Kuala Lumpur" di Liberal Latte, Bukit Damansara pada 4 dan 5 Oktober lalu, memberikan peluang terbaik untuknya berkongsi bakat dan kecintaan terhadap muzik.

"Menampilkan diri di Kuala Lumpur bukan sahaja satu peluang, tetapi juga penghormatan besar bagi saya. Mendapat kepercayaan sebegini adalah sesuatu yang sangat saya syukuri.

"Saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kerana setiap pentas adalah tanggungjawab dan penghargaan daripada mereka yang mempercayai bakat saya," katanya.

Percaya bahawa masa untuk bakat dan karyanya terus bersinar akan tiba, Allan kini fokus pada apa yang dimilikinya sambil berusaha memberikan yang terbaik untuk karya seterusnya.

"Setiap penyanyi mempunyai impian untuk dikenali melalui lagu sendiri, dan saya yakin masa itu akan datang. Terbaru, saya akan memperkenalkan single 'Ku Mau Bahagia Juga' yang dilancarkan pada 5 Oktober lalu.

"Saya sangat menikmati proses menghasilkan setiap lagu kerana melalui karya, saya lebih bebas mengekspresikan diri dan perjalanan hidup saya," tambahnya, sambil berharap mendapat sambutan hangat daripada peminat. - Media Telus

+ - reset