TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

8 daripada 12 penyamun bawa lari RM600,000 di Klang dah kena kutip

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Okt - Polis menahan lapan suspek disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan di sebuah rumah di Pandamaran, Klang, Selangor yang mengakibatkan kerugian lebih RM600,000, Khamis lalu.

Semua suspek ditahan menerusi beberapa serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut sumber, tangkapan pertama membabitkan seorang suspek berusia 23 tahun yang dilakukan tidak lama selepas kejadian itu.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di sekitar Klang seterusnya beberapa serbuan susulan di Negeri Sembilan dengan enam lagi suspek ditahan.

Difahamkan, beberapa senjata yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

"Usaha memburu saki-baki anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas giat dijalankan," kata sumber itu.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga kerugian RM600,000 selepas kediaman mereka di Pandamaran, diceroboh sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, sekumpulan lelaki dianggarkan antara 10 hingga 12 orang memecah masuk dan menyamun kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, dilaporkan berkata polis menerima laporan pada jam 6.16 pagi daripada seorang mangsa berhubung rumahnya dipecah masuk beberapa lelaki.

Katanya, dalam kejadian jam 5 pagi itu, antara 10 hingga 12 suspek dipercayai warga tempatan menaiki dua kenderaan memanjat tembok banglo tiga tingkat itu sebelum masuk ke rumah.

"Semua suspek memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang dikesan memasuki sebuah bilik dan mengikat tiga penghuni rumah itu sebelum menggeledah barangan.

"Seorang penghuni berjaya menelefon polis dan sebaik kereta peronda tiba di lokasi, semua suspek melarikan diri bersama dua kenderaan," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada tiga penghuni rumah iaitu lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu akibat ditetak oleh penyamun dalam kejadian itu. 

 

+ - reset