TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar tegur golongan elit obses 'speaking', pandang remeh bahasa Melayu

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 6 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir kelompok elit yang taksub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara.

Beliau berkata, sikap obsesi dan keghairahan kelompok terbabit yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan Bahasa Inggeris adalah salah.

"Saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan (penguasaan) Bahasa Inggeris, tetapi saya juga tidak mewakili sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri.

"Saya ingin mengingatkan mereka ini terlalu taksub dengan Bahasa Inggeris. Mereka mungkin dibesarkan di London, tetapi saya ingatkan mereka, hidup mereka di Malaysia, mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari; Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari.

Anwar berkata, pelbagai kaum di negara ini seharusnya melupakan pertelingkahan mengenai bahasa sebaliknya menguatkan iltizam dan mengambil satu pendirian serta komitmen untuk mememperkasakan Bahasa Melayu.

"Apabila ini dilakukan, kita akan lebih mudah memberi penumpuan kepada pemerkasaan Bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain," katanya.

Beliau juga berkata, pemerkasaan ekonomi sesebuah negara juga perlu seiring dengan pemerkasaan budaya dan tamadun termasuk bahasa, seni dan sastera.

Katanya, kerajaan MADANI di bawah pimpinannya akan terus komited dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu tanpa meminggir bahasa-bahasa lain.

"Dikatakan Kerajaan MADANI meminggirkan bahasa (Melayu), tetapi di mana sebenarnya peminggiran itu?. Tumpuan kita berikan kepada DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) dan pendidikan, ketimbang tahun-tahun sebelumnya, jelas sekarang peruntukan dan ruang lebih diberikan," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan anugerah Ikon Bahasa kepada tiga penerima iaitu penyanyi lagu-lagu rakyat Roslan Madun, pengacara Ahmad Fetri Yahya dan penyanyi etnik kreatif Hazwan Hazif Rosebi.

Selain itu, beliau turut menyampaikan pemenang Hadiah Karya Ilimiah kepada dua penerima iaitu Prof Shamsul Bahari Abdul Razak melalui buku Kelulutologi: Merungkai Misteri Kelulut Alam dan Kehidupan Manusia dan Dr Nafishah Mat Rabi melalui karya Rawatan Alternatif Untuk Kanak-Kanak Autistik.

Semua penerima menerima wang tunai dan sijil penghargaan.

+ - reset