TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Berjasa bukan lesen boleh sakau wang negara, rakyat - PM

By
|
Kongsi
image

TANJUNG MALIM 5 Okt - Jasa kepada negara bukan lesen buat bekas pemimpin mengaut kekayaan secara salah dan mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap korup pemimpin negara terdahulu dalam pentadbiran menyebabkan masalah kemiskinan terus membelenggu rakyat dan perkara itu tidak selesai meskipun kerajaan silih berganti.

Tanpa merujuk mana-mana individu secara spesifik, beliau mencabar bekas pejuang Melayu terbabit supaya memulangkan semula harta negara yang disimpan di luar negara kepada rakyat.

"Kita bersikap tegas. Siapa yang punggah kekayaan berbilion ringgit, tak peduli pemimpin dulu atau sekarang, tindakan harus diambil.

"Ini masih dijadikan alasan politik...oh kesian dia dulu berjasa. Semua orang berjasa, ketua kampung, penghulu pun berjasa, namun adakah bila berjasa tu boleh curi duit masjid?

"Kenapa Menteri Kewangan fikir dia ada jasa, maka boleh curi berbilion ringgit? Kalau benar pemimpin-pemimpin Melayu yang rompak harta negara ini yang ada kekayaan berbilion ringgit di Malaysia, di Amerika Syarikat, di England, dia Eropah..sebagai seorang pejuang Melayu, serahkan balik wang kamu curi kepada rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Seminar 100 Tahun Za'ba Pemikir Kemiskinan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.

Program berkenaan bertujuan mengangkat jasa Za'ba atau Zainal Abidin Ahmad sebagai pemikir kritis, keupayaan unik beliau menganalisis peradaban orang Melayu dalam semua aspek termasuk konsep kemiskinan merentas zaman. 

Sepanjang hayatnya, Za'ba mencetuskan kebangkitan bangsa serta melontarkan permasalahan kemiskinan pelbagai dimensi merangkumi harta benda, cita-cita, pendidikan dan sikap atau akhlak.

Za'ba percaya bahawa kemiskinan bukan sahaja dalam bentuk material, tetapi juga `kemiskinan minda' yang menjadi permasalahan utama orang Melayu.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UPSI, Datuk Professor Dr Md Amin Md Taff.

Anwar berkata pelbagai program bantuan kewangan dilaksanakan kerajaan untuk membantu rakyat miskin, bagaimanapun kadang-kala berlaku salah guna kuasa menyebabkan ketirisan.

"Bayangkan kalau RM22 bilion diperuntukkan bagi satu tahun dan kita urus dengan baik, maka selesai masalah kemiskinan.

"Kerajaan silih berganti, Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan partinya silih berganti tetapi kemiskinan masih tidak selesai.

"Sebab itu, apabila kita ada kesempatan, peluang kerajaan MADANI mulakan prinsip tatakelola dari atas. Kalau itu dapat dilakukan, apa yang diidamkan oleh Za'ba kemudian diulas oleh para sarjana, mudah kita selesaikan," katanya.

+ - reset