TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas maut dipijak gajah dalam kebun di Terengganu

By
|
Kongsi
image

HULU TERENGGANU 5 Okt - Seorang lelaki warga emas ditemui mati di kawasan kebunnya disyaki dipijak gajah di Kampung Basung di sini hari ini.

Mayat Musa Ahmad, 65, ditemui pada pukul 7.30 pagi dalam keadaan hidung berdarah dan kesan lembam pada beberapa anggota badan seperti dipijak haiwan mamalia berkenaan.

Anak sulung mangsa, Romisa Musa,40, berkata, bapanya tidak pulang setelah keluar rumah untuk ke kebun dengan berjalan kaki pada pukul 8 pagi semalam.

“Kami mula bimbang kerana ayah (Musa) tidak pulang untuk solat Jumaat malah turut gagal dihubungi sehingga salah seorang adik lelaki saya cuba mencarinya di sekitar kebun pada pukul 3 petang.

“Begitupun ayah gagal ditemui. Kami membuat laporan polis pada pukul 9 malam tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin yang dihubungi mengesahkan penemuan mayat Musa.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.

Media pada Rabu lalu melaporkan ribuan penduduk di tiga perkampungan iaitu Kampung Basung, Kampung Pasir Dula dan Padang Setebu di sini tidak tidur lena ekoran kekerapan pencerobohan gajah hampir setiap malam sejak akhir-akhir ini. 

+ - reset