TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terjejas banjir besar di Bosnia Herzegovina

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

 

PUTRAJAYA 5 Okt - Rakyat Malaysia di Bosnia Herzegovina diminta supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi pengumuman terkini oleh pihak berkuasa tempatan susulan kejadian tanah runtuh dan banjir besar yang melanda Perbandaran Jablanica.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas setakat ini.

"Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Bosnia Herzegovina, serta mangsa dan keluarga yang terkesan akibat bencana alam ini.

"Kami berharap agar mangsa yang cedera segera pulih dan pemulihan harta benda serta infrastruktur berjalan lancar," menurut kenyataan itu.

Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Sarajevo akan terus memantau situasi dengan rapi dan menyediakan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Sarajevo di Radnicka 4A, Sarajevo atau melalui telefon di: +387 33 201 578 atau e-mel: mwsarajevo@kln.gov.my.

Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan maut dalam bencana itu, manakala hujan lebat yang berterusan, banjir dan tanah runtuh juga menyebabkan kerosakan infrastruktur dan harta benda di kawasan perbandaran yang terletak kira-kira 70kilometer dari Sarajevo. - Media Telus

+ - reset