TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu maut dalam perjalanan hantar anak masuk Uni, kereta dinaiki terbabas elak bangkai lembu

By
|
Kongsi
image

KUALA KRAI 4 Okt - Seorang suri rumah maut selepas kenderaan dinaiki bersama suami dan anak perempuan terbabas ketika cuba mengelak bangkai lembu di Kilometer 57 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.57 pagi itu, Norma Mat, 55, yang tersepit di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, berkata pasangan suami isteri berkenaan bersama anak perempuan mereka berusia 24 tahun yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, dari arah Ketereh ke universiti berkenaan.

Beliau berkata, kereta Perodua Bezza dipandu suami mangsa berusia 61 tahun, dikatakan cuba mengelak bangkai lembu di tengah jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Kenderaan itu kemudian terbalik lalu masuk ke longkang.

"Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Suami mangsa cedera di dada manakala anak pasangan itu cedera di kaki," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk bedah siasat manakala suami dan anaknya turut dirawat di hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis turut meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurin Farisha Mohd Adam di talian 01129286619," katanya.

+ - reset