TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

JDT kukuh kredibiliti, kini ditangga ke lima terbaik Asia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Pasukan gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kredibiliti mereka di persada Asia apabila muncul sebagai pasukan kelima terbaik.

Berdasarkan kemas kini terbaharu laman Opta Power Ranking semalam, hanya empat pasukan berjaya mengatasi kedudukan JDT di Asia ketika ini - Al-Hilal, Al-Nassr, Vissel Kobe dan Sanfrecce Hiroshima.

Kedudukan itu secara tidak langsung meletakkan skuad bimbingan Hector Bidoglio sebagai pasukan pertama di Asia Tenggara ketika pencabar terdekat mereka Buriram United berada di tangga ke-24 Asia.

JDT juga kini berada di ranking ke-231 dunia dan tiada pasukan lain dari Malaysia berada dalam senarai 1,000 pasukan terbaik.

Beberapa pasukan Liga Super seperti Selangor FC berada di kedudukan ke-1,121 dunia manakala Terengganu FC di tangga ke-1,666.

Terdahulu, pendahulu Liga Super itu memperagakan aksi memberangsangkan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit 2024-25 apabila mengutip empat mata selepas dua perlawanan.

Mereka membuka kempen seri 2-2 dengan pendahulu Liga Super China, Shanghai Port sebelum membelasah satu lagi kelab China, Shanghai Shenhua 3-0 di laman sendiri, Selasa lalu.

Kemenangan itu membolehkan JDT ketika ini berada di tangga kedua bagi kedudukan Zon Timur di belakang pendahulu, Gwangju yang cemerlang mengutip enam mata selepas dua perlawanan.

Hanya lapan pasukan terbaik melayakkan diri ke pusingan kalah mati. - Sinar Harian

+ - reset