TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Israel terus mengganas di Lubnan, korbankan 105 nyawa, 395 cedera

By
|
Kongsi
image

BEIRUT 30 Sept - Israel memperluaskan serangan dengan mengebom daerah Kola di Beirut, sejak serangan pertamanya di tengah ibu negara Lubnan itu .

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan Israel mengorbankan 105 individu dan mencederakan 395 yang lain dalam tempoh 24 jam terakhir ketika jet tentera meneruskan pengeboman tanpa henti di seluruh negara.

Sementara itu, serangan dron pada Isnin menyasarkan sebuah pangsapuri milik dua anggota kumpulan Islamis Lubnan iaitu Jamaa Islamiya, di daerah Cola, menurut sumber keselamatan.

Ia adalah serangan pertama di dalam tembok kota itu sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah pangsapuri milik Jamaa Islamiya di bandar dalaman Beirut," menurut sumber Lebanon.

Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP), sebuah kumpulan sekular sayap kiri, berkata tiga anggotanya terbunuh dalam serangan itu.

Kumpulan itu, dalam satu kenyataan, mengesahkan bahawa ketua keselamatan tenteranya, Mohammad Abdel-Aal selain komander tentera, Imad Odeh dan Abdelrahman Abdel-Aal terbunuh.

Rakaman televisyen menunjukkan tingkat bangunan yang sebahagiannya musnah akibat serangan itu, di kawasan kejiranan Sunni, Cola, berhampiran jalan yang menghubungkan ibu kota dengan lapangan terbang Beirut.

Jet Israel terus menyerang sasaran di seluruh Lubnan, termasuk ibu negaranya, Beirut untuk hari ketujuh, dengan pegawai Lubnan berkata, pengeboman tanpa henti mengakibatkan sehingga sejuta orang kini terpaksa meneruskan hidup di jalanan.

Ketika kebimbangan terhadap perang antara Israel dan Hizbullah semakin meningkat, Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati, pada Ahad berkata, serangan sengit Israel mungkin menyebabkan 'krisis perpindahan terburuk' dalam sejarah negara itu.

Secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, lebih 1,000 warga Lubnan terbunuh dan 6,000 cedera dalam tempoh dua minggu lalu akibat serangan Israel.

Mikati berkata, satu-satunya pilihan yang ada untuk menamatkan konflik itu ialah penyelesaian diplomatik.

Pada Ahad, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata pihaknya akan mengambil tindakan susulan pembunuhan Timbalan Komander Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Abbas Nilforoushan, bersama pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah.

"Jenayah ngeri rejim Zionis ini tidak akan dibiarkan, cabang diplomatik akan menggunakan semua keupayaan politik, diplomatik, undang-undang dan antarabangsa untuk memastikan penjenayah dan penyokong mereka bertanggungjawab," kata kenyataan Kementerian Luar.

Sementara itu, bercakap buat kali pertama sejak pembunuhan Nasrallah, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata kini terdapat dua matlamat perang untuk Israel di utara, bersempadan dengan Lubnan.

"Pertama, mengembalikan warga Israel, yang sebelum ini dipindahkan keluar dari bandar dan penempatan di utara berikutan peningkatan keganasan susulan perang dengan Hizbullah, pulang ke rumah mereka.

"Kedua, memulihkan keseimbangan kuasa di sempadan utara bagi memastikan nyawa penduduk israel di sana tidak lagi terancam," katanya.

Dalam pada itu, pegawai Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menegaskan, mereka bertekad untuk memusnahkan Hizbullah dan semua keupayaan ketenteraannya.

"Ketua kakitangan tentera Israel, bersama Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, meluluskan rancangan baharu untuk strategi serangan di utara," katanya. - AGENSI

+ - reset