Berita Dunia
Taufan Helene ragut 100 nyawa di AS, ribuan penduduk di pusat perlindungan
FLAT ROCK 30 Sept - Tenggara Amerika syarikat (AS) memulakan usaha besar-besaran pembersihan dan pemulihan pada Ahad, dengan hampir 100 terkorban selepas Taufan Helene menyebabkan banjir besar dari Florida hingga Virginia.
Angin, hujan, dan lonjakan ombak dari ribut itu meragut sekurang-kurangnya 90 nyawa di North Carolina, South Carolina, Georgia, Florida, Tennessee, dan Virginia, berdasarkan laporan pegawai negeri serta tempatan.
Menurut pihak berkuasa, satu daerah di North Carolina sahaja melaporkan 30 kematian, ketika penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa di seluruh tenggara AS dan pegawai bimbang lebih banyak mayat akan ditemui.
Dengan menara komunikasi mudah alih rosak di seluruh kawasan tersebut, ratusan orang masih belum dapat menghubungi orang tersayang dan disenaraikan sebagai hilang manakala jutaan penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik.
Anggaran kerugian berjumlah antara AS$15 bilion (RM61.7 bilion) hingga lebih AS$100 bilion (RM411.2 bilion), kata pihak insurans dan pakar ramalan cuaca hujung minggu ini, kerana sistem air, komunikasi, dan laluan pengangkutan kritikal turut terjejas.
Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Deanne Criswell, berkata proses baik pulih akan menjadi sangat rumit di lima negeri di tenggara AS itu
"Kami dimaklumkan (mengenai) kerosakan infrastruktur yang ketara kepada sistem air, komunikasi, jalan raya, laluan pengangkutan kritikal dan beberapa rumah yang baru sahaja musnah akibat taufan ini," katanya.
Menurut statistik pihak berkuasa tempatan dan kiraan AFP, sekurang-kurangnya 88 orang maut susulan cuaca melampau itu, 35 individu di North Carolina, 24 di South Carolina, 17 di Georgia, 11 di Florida dan seorang di Virginia.
Syerif di daerah Buncombe di North Carolina, Quentin Miller, pula mengesahkan 30 lagi maut akibat ribut terbabit.
"Kami masih menjalankan operasi pencarian dan sedar ini juga mungkin bertukar menjadi operasi mengeluarkan mayat," katanya.
Menurut Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Ken Graham, amaran banjir kilat masih berkuat kuasa di bahagian barat Carolina Utara pada Ahad, selepas mengambil kira risiko kegagalan empangan.
Tambahnya, cuaca dijangka reda di kawasan terjejas sekitar Selasa.
Hampir 2.5 juta isi rumah di tenggara AS masih tanpa bekalan elektrik pada Ahad, menurut poweroutage.us.
Pegawai Jabatan Tenaga AS, Matt Targuagno, berkata pasukan sedang bekerja keras untuk memulihkan bekalan elektrik tetapi memberi amaran bahawa ia adalah operasi yang rumit dan mungkin memakan masa beberapa hari.
Beribu-ribu orang masih mendapatkan bantuan di pusat perlindungan yang dikendalikan oleh Palang Merah AS, kata pegawai pertubuhan itu, Jennifer Pipa.
Taufan Helene melanda pantai utara Teluk Florida sebagai taufan kategori empat yang besar dengan kelajuan angin 225 kilometer sejam (km/j).
Walaupun telah mula lemah, taufan itu masih berupaya mengakibatkan kerosakan yang besar dengan menyebabkan banjir dan tanah runtuh.
Presiden AS, Joe Biden, pada Ahad berkata salah seorang penasihat kanan beliau berada di Florida untuk memantau keadaan semasa. - AFP
Berita berkaitan
November 6, 2024, 5:16 pm
Trump menang Presiden Amerika Syarikat sekali lagi
November 1, 2024, 10:27 am
Angka korban ribut 'dahsyat' di Sepanyol cecah 158 orang
October 30, 2024, 9:54 pm
Wanita maut terjatuh dari tangga pesawat
October 24, 2024, 11:02 am
Hizbullah hantar peluru berpandu balas serangan paling ganas Israel
October 23, 2024, 11:55 am
Guru sambilan dipenjara kerana tegur anak polis
October 16, 2024, 12:38 pm
Terima rasuah, Hakim Mahkamah Agung dipenjara 10 tahun
October 4, 2024, 3:16 pm
AS rekod kes baharu selesema burung H5 libatkan manusia di California
October 2, 2024, 12:48 pm
22 pelajar, 3 guru maut bas sekolah terbakar
October 2, 2024, 11:43 am
'Silap besar Iran serang Israel- Netanyahu
September 30, 2024, 11:29 am