TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

Kerajaan Sarawak sah pemegang saham terbesar Affin Bank

By
|
Kongsi
image

KUCHING 27 Sept - Kerajaan Sarawak memuktamadkan perjanjian pembelian saham (SPA) Affin Bank Bhd sekali gus menjadi pemegang saham terbesar dengan pegangan 31.25 peratus ke atas syarikat perbankan tempatan itu.

Sebelum pengambilalihan ini, kerajaan Sarawak memegang 4.81 peratus kepentingan dalam Affin Bank.

Dengan muktamadnya SPA itu, pegangan kerajaan Sarawak meningkat kepada 31.25 peratus, yang mewakili satu langkah besar ke hadapan.

Langkah strategik itu dijangka memberi manfaat positif kepada Affin Bank, mempercepatkan pertumbuhannya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan terkemuka dalam industri perbankan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata keputusan Sarawak melabur dalam Affin Bank didorong oleh keperluan untuk mengambil langkah strategik bagi mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan bank yang kukuh dan berwibawa.

Katanya, langkah itu penting bagi Sarawak dalam usaha untuk meningkatkan potensi ekonominya yang besar.

"Langkah ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) adalah pelan komprehensif yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat kami.

"Justeru, dengan memiliki bank ia memainkan peranan penting dalam mencapai objektif PCDS 2030 kerana kerjasama dengan Affin Bank menjadi penting dalam memajukan pelan pembangunan ini.

"Affin Bank boleh menjadi antara pemangkin penting untuk menyokong Sarawak dalam memenuhi agenda ekonomi mampannya," katanya dalam laporan Berita Harian. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian SPA Kerajaan Sarawak-Affin Bank di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah.

Abang Johari berkata, dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran luas Affin Bank, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama untuk membuka peluang baharu, memudahkan akses kepada modal, selain menggalakkan semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat. 

"Bersama-sama, kita akan membina ekosistem kewangan yang memupuk inovasi, mempromosikan literasi kewangan dan memperkasakan literasi kewangan, serta membolehkan komuniti kita mencapai aspirasi mereka.

"Saya yakin dengan komitmen tidak berbelah bahagi dan usaha kolektif daripada pasukan Affin Bank, syarikat perbankan ini dijangka berkembang dan menjadi mercu tanda kecemerlangan kewangan Sarawak dan negara," katanya.

Sementara itu, Wan Razly berkata, perjanjian itu bukan sahaja satu pencapaian ia adalah lonjakan besar yang akan mendorong Affin Bank ke tahap kecemerlangan yang baharu.

"Dengan langkah strategik ini, kami akan membentuk semula landskap perbankan menerusi inovasi dan penyelesaian kreatif, bagi memastikan kedudukan kami untuk masa hadapan.

"Ia adalah satu lonjakan besar yang akan mendorong Affin Bank ke tahap kecemerlangan baru. Ia juga menandakan permulaan babak yang akan mempercepatkan trajektori pertumbuhan kami," katanya.

Abang Johari pada Sabtu lalu mengumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan pegangan majoriti kerajaan Sarawak dalam institusi perbankan berkenaan.

Sebelum SPA dimuktamadkan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah pemegang saham terbesar Affin Bank dengan 28 peratus kepentingan, diikuti oleh Bank of East Asia Ltd, dengan lebih 23 peratus dan Boustead Holdings Bhd milik penuh LTAT dengan kira-kira 20 peratus.

+ - reset