TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Tiga kelab Liga Super didenda

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Tiga kelab Liga Super dikenakan denda RM15,000 akibat gagal mengemukakan laporan kewangan kepada badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, FFP FIB menjelaskan bahawa kegagalan ini berpunca daripada tunggakan gaji serta caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS).

Pemeriksaan laporan kewangan adalah fasa kedua dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia (Liga M) yang akan berkuat kuasa mulai musim 2024-2025. Daripada 13 kelab Liga Super, 10 kelab berjaya menghantar laporan kewangan yang lengkap.

Walau bagaimanapun, tiga kelab tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, menyebabkan sekatan perpindahan pemain dikenakan sebelum jendela kedua perpindahan musim 2024-2025. Jika tiada penyelesaian terhadap tunggakan dalam tempoh 30 hari selepas sekatan tersebut, denda RM15,000 akan dikenakan.

Meskipun nama kelab tidak dinyatakan secara rasmi, sumber menyebut bahawa kelab terbabit adalah Kuala Lumpur (KL) City, Kedah Darul Aman FC, dan satu kelab lain dari Pantai Timur.

FFP FIB turut mengingatkan ketiga-tiga kelab untuk menghantar bukti bayaran atau pelan pembayaran bagi tunggakan gaji dan caruman kerajaan dalam tempoh 30 hari, sebelum atau pada 25 Oktober. Kegagalan untuk berbuat demikian akan membawa kepada tindakan lanjut oleh Jawatankuasa FIB. - Media Telus

+ - reset