TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Wanita Poland ditahan buat ancaman bom di lapangan terbang Bangkok

By
|
Kongsi
image

BANGKOK 27 Sept. - Seorang wanita warganegara Poland telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, pada Khamis selepas membuat ancaman bom dalam penerbangan Thai Vietjet dari Danang, Vietnam, ke Bangkok, menurut laporan media tempatan Thailand.

Pengurus Besar Lapangan Terbang, Kittipong Kittikachorn, melaporkan bahawa pusat keselamatan lapangan terbang menerima amaran mengenai ancaman itu pada pukul 2.18 petang.

Pasukan keselamatan, termasuk unit Pemusnah Bom (EOD), telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap penumpang, bagasi mereka, serta pesawat. Tiada bahan letupan atau objek mencurigakan ditemui, dan tindak balas kecemasan dihentikan pada pukul 4.30 petang.

Menurut undang-undang penerbangan Thailand, sesiapa yang menyampaikan maklumat palsu yang menyebabkan panik dalam pesawat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sebanyak US$6,150.

Dalam kenyataannya, Thai Vietjet menegaskan bahawa operasi mereka sentiasa mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberi amaran bahawa sebarang tindakan yang mengganggu operasi syarikat penerbangan akan dihukum dengan tegas.

Tiada maklumat lanjut mengenai motif suspek atau prosiding undang-undang yang akan diambil. - Agensi

+ - reset