TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Pemandu lori dipenjara 12 bulan, mengaku bersalah buli pempengaruh Esha

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Sept - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu kepada pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary atau Esha yang ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli, empat bulan lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Siti Aminah Ghazali selepas tertuduh, B Sathiskumar, 40, menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh tangkap pada 10 Julai lalu.

Terdahulu, bapa kepada tiga anak itu memohon maaf dan mengakui kesalahannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

"Saya bersalah, saya tidak akan buat lagi, minta ampun puan (Hakim).. lain kali saya tidak buat lagi," katanya dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Hantaran dibuat melalui aplikasi TikTok menggunakan nama profil "@dulal_brothers_360" pada jam 10.12 malam 30 Jun lalu, yang mana ia dibaca pada 10.15 malam di Jalan Ipoh, di sini, 30 Jun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar didakwa mengaibkan dan mengganggu kesantunan P R Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha melalui perkhidmatan aplikasi TikTok dengan menggunakan nama profil sama pada tarikh, masa dan tempat sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dengan mengambil kira faktor kesalahan tertuduh serta kepentingan awam dan hak mangsa dalam kes ini.

"Penggunaan perkataan lucah seperti mana dalam pertuduhan yang digunakan tertuduh semasa siaran langsung di TikTok, melambangkan niat jahat tertuduh menyakiti mangsa (Rajeswary).

"Kes ini sewajarnya menjadi panduan kepada masyarakat umum bahawa perkataan lucah digunakan di media sosial boleh membawa kepada hukuman berat selaras tindakan undang-undang," katanya.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Izwan Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu, anak guamnya dikenakan hukuman minimum dengan mengambil kira pendapatan RM1,200 sebulan dan perlu menanggung seorang isteri berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal serta tiga anak yang dua daripadanya tidak bekerja, manakala seorang masih belajar.

+ - reset